





























Hadeeth Cards
Da'wa cards that highlight great meanings from the noble prophetic hadiths in a simple style and attractive display that helps the Muslim to have a deeper understanding of his religion in an easy way
All
Daripada Abu al-‘Abbās, ‘Abdullah bin ‘Abbās رضي الله عنهما, beliau berkata: “Suatu hari aku berada di belakang Rasulullah صلى الله عليه وسلم, lalu baginda bersabda: "Duhai anakku, saya ingin ajarkan kamu beberapa perkara: Jagalah hak Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah hak Allah, nescaya kamu akan mendapati-Nya selalu bersamamu. Apabila kamu memohon sesuatu, mintalah kepada Allah, dan apabila kamu memerlukan pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah bahawa jika seluruh manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, mereka tidak dapat melakukannya melainkan dengan izin Allah. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu, mereka tidak akan berjaya melakukannya melainkan sesuatu yang Allah telah tetapkan. Pena telah diangkat dan takdir telah ditulis." Dalam satu riwayat selain al-Tirmidhi disebut: “Peliharalah Allah nescaya kamu akan mendapati-Nya di hadapanmu. Dekatlah kepada Allah ketika senang nescaya Dia akan mengenalimu dalam kesusahan. Ketahuilah bahawa apa yang terlepas daripada kamu tidak akan menimpamu, dan apa yang akan menimpamu tidak akan terlepas daripada kamu. Ketahuilah bahawa kemenangan datang bersama kesabaran, kemudahan datang bersama kesempitan dan bersama kesukaran pasti ada kelapangan.”
رواه الترمذي وغيرهIbnu ‘Abbas رضي الله عنه menceritakan bahawa ketika dia masih kecil, dia membonceng di belakang Nabi ﷺ. Baginda bersabda kepadanya: “Aku akan mengajarkanmu perkara-perkara yang akan memberi kebaikan kepadamu: Jagalah Allah dengan menunaikan perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya, sehingga Dia mendapati kamu dalam ketaatan dan amalan-amalan yang mendekatkanmu kepada-Nya, dan Dia tidak menemuimu dalam maksiat dan dosa. Jika engkau melakukan itu, maka balasanmu ialah Allah akan memelihara dirimu daripada segala bahaya dunia dan akhirat, serta menolongmu dalam setiap urusanmu ke mana sahaja engkau bergerak.” Apabila ingin meminta sesuatu, jangan minta kecuali kepada Allah, kerana hanya Dia yang mampu menjawab permintaan para hamba-Nya. Sekiranya engkau ingin meminta pertolongan, janganlah meminta pertolongan melainkan kepada Allah. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu tidak akan memperoleh sebarang manfaat walaupun seluruh penduduk bumi berkumpul untuk memberimu manfaat, melainkan apa yang Allah telah tetapkan untukmu. Begitu juga, kamu tidak akan ditimpa sebarang bahaya walaupun seluruh penduduk bumi berkumpul untuk mencelakakanmu, melainkan apa yang Allah telah takdirkan ke atasmu. Ketahuilah bahawa perkara ini telah ditulis dan ditakdirkan oleh Allah menurut hikmah dan ilmu-Nya, dan tiada yang dapat mengubah apa yang Allah telah tetapkan. Sesiapa yang memelihara Allah dengan menunaikan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala sentiasa di hadapan hamba-Nya, mengetahui keadaannya, menolongnya dan memberi pertolongan kepadanya. Dan bahawa jika seseorang itu taat kepada Allah ketika dalam kesenangan, maka Allah akan memudahkan jalan keluar dan pertolongan baginya ketika dalam kesempitan. Setiap hamba hendaklah reda dengan apa yang ditetapkan Allah ke atasnya, sama ada baik atau buruk. Dalam menghadapi kesusahan dan ujian, hamba mesti bersabar, kerana sabar itu kunci kepada pertolongan. Apabila kesusahan bertambah berat, pertolongan datang daripada Allah, dan apabila kesulitan berlaku, Allah mengakhirinya dengan kemudahan.
Daripada Abu ‘Amr – dan dikatakan: Abu ‘Amrah, – Sufyan bin ‘Abdullah رضي الله عنه, beliau berkata: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku satu ucapan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya tentangnya kepada sesiapa pun selain engkau.” Baginda bersabda: “Katakanlah: ‘ “Aku beriman kepada Allah" kemudian istiqamahlah.”
رواه مسلمSahabat, iaitu Sufyan bin ‘Abdullah رضي الله عنه bertanya kepada Nabi ﷺ agar baginda mengajarkannya suatu ucapan yang merangkumi makna-makna Islam, yang dapat dijadikan pegangan dan tidak akan bertanya tentangnya kepada orang lain. Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya: “Katakanlah: Aku mengesakan Allah, dan aku beriman bahawa Dia adalah Rabb-ku, Tuhanku, Penciptaku dan Tuhan yang aku sembah, tiada sekutu bagi-Nya.” Kemudian tunduk kepada perintah Allah dengan menunaikan segala kewajipan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, serta konsisten dalam melakukannya.
Daripada Abu ‘Abdullah, Jabir bin ‘Abdullah Al-Ansari رضي الله عنهما: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika aku menunaikan solat fardu, berpuasa Ramadan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, serta tidak menambah apa-apa lagi selain itu, adakah aku akan masuk syurga?” Baginda menjawab: “Ya.”
رواه مسلمRasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa sesiapa yang menunaikan solat lima waktu yang diwajibkan tanpa menambah sebarang solat sunat, berpuasa pada bulan Ramadan tanpa puasa sunat, meyakini kehalalan perkara yang halal dan melakukannya serta meyakini keharaman perkara yang haram dan menjauhinya, maka dia akan masuk syurga.
Daripada Mu‘ādh bin Jabal رضي الله عنه, beliau berkata: Aku bertanya, “Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku amalan yang memasukkanku ke syurga dan menjauhkanku daripada neraka.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah bertanya tentang perkara yang besar, namun ia amat mudah bagi sesiapa yang Allah memudahkan kepadanya: Beribadahlah kepada Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu, dirikan solat, tunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan lakukan haji ke Baitullah. Kemudian baginda bersabda: ‘Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai, sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat pada waktu malam.’ Kemudian baginda membaca ayat: {mereka menahan diri dari tempat tidur mereka} sehingga sampai kepada ayat: {apa yang mereka lakukan}. Kemudian baginda bersabda: “Mahukah aku beritahu kepadamu pokok urusan, tiangnya dan kemuncaknya?’ Aku menjawab: ‘Ya, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Pokok urusan itu ialah Islam, tiangnya ialah solat, dan kemuncaknya ialah jihad.’ Kemudian baginda bersabda: ‘Mahukah aku beritahu kepadamu pemegang segala itu?’ Aku menjawab: ‘Ya, wahai Rasulullah!’ Lalu baginda mengambil lidahku dengan tangannya seraya bersabda: ‘Kawallah lidahmu!’ Aku berkata: ‘Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya kami akan diminta bertanggungjawab atas apa yang kami ucapkan.’ Baginda bersabda: ‘Apalah engkau! Tidaklah manusia ditimpa kecelakaan melainkan akibat perbuatan lidah mereka sendiri.
رواه الترمذيMu‘az رضي الله عنه berkata: “Aku berada bersama Nabi صلى الله عليه وسلم dalam suatu perjalanan. Suatu pagi, aku berjalan di sisinya ketika kami sedang berjalan, lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku amalan yang memasukkanku ke syurga dan menjauhkanku dari neraka.’ Baginda bersabda: “Engkau telah bertanya amalan yang besar lagi berat kepada diri, namun ia mudah bagi orang yang Allah mudahkan kepadanya; tunaikanlah kewajipan-kewajipan Islam:” Pertama: Sembahlah Allah sahaja dan janganlah engkau mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Kedua: Dirikanlah solat lima waktu yang wajib setiap hari dan malam: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, dan Isyak, dengan menunaikan syarat, rukun, dan kewajipannya. Ketiga: Tunaikanlah zakat yang wajib, iaitu ibadah harta yang diwajibkan ke atas setiap harta yang mencapai kadar tertentu menurut syarak, diberikan kepada yang berhak menerimanya. Keempat: Berpuasalah pada bulan Ramadan, iaitu menahan diri daripada makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat ibadah, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Kelima: Tunaikanlah haji ke Baitullah dengan niat menunaikan ibadah haji sebagai suatu ibadah kerana Allah Ta‘ala. Kemudian baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu jalan yang membawa kepada pintu-pintu kebaikan? Iaitu dengan mengikuti kewajipan-kewajipan tersebut disertai amalan-amalan sunat:” Pertama: Puasa sunat, ia berfungsi sebagai perisai daripada terjerumus ke dalam maksiat dengan menahan nafsu dan melemahkan kekuatan syahwat. Kedua: Sedekah sunat memadamkan dosa setelah dilakukannya, menghilangkan dan menghapus kesannya. Ketiga: Solat Tahajjud pada sepertiga malam yang terakhir. Kemudian baginda صلى الله عليه وسلم membaca firman Allah Ta‘ala: {Mereka menjauhkan punggung mereka daripada tempat tidur mereka, mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan solat, zikir dan bacaan Al-Quran, dengan rasa takut dan mengharap, dan daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka, mereka membelanjakan nya. Tiada seorang pun yang mengetahui apa yang Kami sediakan untuk mereka sebagai kesenangan mata} iaitu nikmat yang menyenangkan pandangan mereka di Hari Kiamat dan di syurga, {sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan}. Kemudian baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: “Mahukah aku beritahu kepadamu asal agama, tiangnya yang menjadi sandarannya, dan kemuncaknya?” Mu‘az رضي الله عنه menjawab: “Tentu sekali, wahai Rasulullah.” Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: “Pokok segala urusan ialah Islam, iaitu dua kalimah syahadah; dengannya terbina pada diri seseorang asas agama.” Tiangnya ialah solat; tiada Islam tanpa solat, sebagaimana tiada rumah tanpa tiang. Sesiapa yang menegakkan solat, kukuhlah agamanya dan bertambah tingginya darjatnya. Manakala puncak tertingginya ialah jihad, iaitu berusaha gigih menentang musuh agama demi meninggikan kalimah Allah. Kemudian baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: “Mahukah aku beritahu kepadamu cara menjaga dan menyempurnakan segala yang telah disebutkan tadi?” Lalu baginda mengambil lidahnya dan bersabda: “Tahanlah ini dan janganlah engkau bercakap tentang perkara yang tidak berkait denganmu.” Mu‘az bertanya: “Adakah Tuhan kita akan menghukum, menghitung, dan membalas kita atas setiap apa yang kita ucapkan?” Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: “Semoga ibumu kehilangan kamu!” Ini bukan bermaksud doa buruk ke atasnya, tetapi ia merupakan ungkapan orang Arab untuk menarik perhatian terhadap perkara yang patut diambil cakna dan dimaklumi. Kemudian baginda bersabda: “Tidaklah manusia dilempar dan dijatuhkan ke dalam api neraka atas muka mereka, kecuali akibat dari lidah mereka, berupa kekufuran, tuduhan, cercaan, mengumpat, mengadu domba, fitnah, dan seumpamanya.”
Daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما, daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, baginda meriwayatkan daripada Tuhannya Yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi, bahawa baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan setiap kebaikan dan kejahatan, kemudian menjelaskannya. Maka sesiapa yang berhasrat melakukan suatu kebaikan tetapi tidak melakukannya, Allah mencatatnya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Dan sesiapa yang berhasrat melakukannya lalu melakukannya, Allah menulis baginya 10 kebaikan hingga 700 kali ganda, bahkan berlipat ganda lagi. Dan sesiapa yang berhasrat melakukan kejahatan tetapi tidak melakukannya maka Allah menulisnya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Dan sesiapa yang berhasrat melakukannya lalu melakukannya, Allah menulisnya sebagai satu kejahatan sahaja."
رواه البخاري ومسلم في صحيحيهما بهذه الحروفRasulullah ﷺ menerangkan bahawa Allah telah menetapkan pahala bagi kebaikan dan dosa bagi kejahatan, kemudian Dia menjelaskan kepada dua malaikat cara mencatat amalan tersebut: Sesiapa yang berkehendak, berniat dan berazam untuk melakukan satu kebaikan maka ditulis baginya satu kebaikan penuh walaupun dia tidak melakukannya. Jika dia benar-benar melakukannya maka pahalanya digandakan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, bahkan berlipat kali ganda mengikut kadar keikhlasan hati dan sejauh mana manfaat amalan itu tersebar. Sesiapa yang berkehendak, berniat dan berazam untuk melakukan satu kejahatan, lalu dia meninggalkannya kerana Allah maka ditulis baginya satu kebaikan. Jika dia meninggalkannya hanya kerana sibuk atau lalai tanpa berusaha melakukannya maka tidak ditulis apa-apa baginya. Jika dia meninggalkannya kerana tidak mampu melaksanakannya maka ditulis dosa niatnya. Sekiranya dia benar-benar melakukannya, maka ditulis baginya satu dosa sahaja.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala berfirman: Sesiapa memusuhi wali-Ku, maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Aku wajibkan ke atasnya. Dan hamba-Ku itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunat hingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia menggenggam, dan kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku, pasti Aku akan memberinya; dan jika dia memohon perlindungan kepada-Ku, pasti Aku akan melindunginya.”
رواه البخاريNabi ﷺ memberitahu dalam hadis Qudsi bahawa Allah ﷻ berfirman: "Sesiapa yang menyakiti seorang wali-Ku dalam kalangan hamba-Ku yang dekat dengan-Ku, sehingga dia membuatnya marah dan membencinya, maka Aku memberitahunya dan mengisytiharkan permusuhan terhadapnya." Dan wali itu ialah orang mukmin yang bertakwa, dan sebesar mana keimanan dan ketakwaan seorang hamba, sebesar itu juga bahagian yang diperolehinya dari wilayah (perlindungan dan kasih sayang) Allah. Tidak ada suatu amalan yang seorang Muslim lakukan untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya yang lebih dicintai-Nya daripada amalan yang difardukan dan diwajibkan ke atasnya —dengan menunaikan ketaatan dan meninggalkan larangan— Dan dia terus mendekatkan diri kepada Tuhannya melalui amalan sunat berserta yang wajib, sehingga dia memperoleh cinta Allah. Lalu apabila Allah mencintainya, Dia akan membimbingnya dalam empat anggota badan ini: Allah akan membimbingnya pada pendengarannya, maka dia hanya mendengar apa yang diredai Allah. Allah membimbingnya pada penglihatannya, maka dia hanya memandang apa yang disukai dan diredai Allah. Allah membimbingnya pada perbuatan tangannya, maka dia hanya beramal dengan tangannya untuk perkara yang diredai Allah. Allah membimbingnya pada perjalanan kakinya, maka dia hanya berjalan menuju perkara yang diredai Allah dan hanya berusaha menuju ke arah kebaikan. Meskipun demikian, jika dia memohon sesuatu kepada Allah, nescaya Allah akan memberinya apa yang dimintanya, maka doanya dikabulkan. Jika dia berlindung kepada Allah serta memohon perlindungan-Nya, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menjaganya dan melindunginya daripada apa yang ditakutinya.
Daripada Abu Muhammad, ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash رضي الله عنهما, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Tidak beriman seseorang kalian sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa."
رويناه في كتاب الحجة بإسناد صحيحNabi ﷺ menjelaskan bahawa seseorang itu tidak menjadi mukmin yang sempurna imannya sehingga kecintaannya mengikuti apa yang dibawa oleh Rasul ﷺ berupa perintah dan larangan serta syariat-syariat lain. Dia mencintai apa yang diperintahkan dan membenci apa yang dilarang.
Daripada Abdullah bin Amr رضي الله عنهما, beliau berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Empat perkara yang jika ada pada seseorang, ia termasuk dalam tanda-tanda munafik, dan jika terdapat salah satu daripadanya, maka ia mengandungi sebahagian sifat nifaq sehingga ia meninggalkannya: Apabila berbicara, dia berdusta. Apabila berjanji, dia memungkirinya. Apabila berselisih, dia melampaui batas. Dan apabila membuat perjanjian, dia mengkhianatinya."
رواه البخاري ومسلمNabi صلى الله عليه وسلم memberi peringatan tentang empat sifat ini. Sekiranya sifat-sifat ini terkumpul pada seorang Muslim, dia sangat menyerupai orang munafik kerana sifat-sifat tersebut. Ini berlaku bagi orang yang sifat-sifat itu menguasai dirinya (sering melakukannya) manakala bagi yang jarang memilikinya (jarang melakukannya), tidak termasuk dalam kategori ini. Sifat-sifat tersebut ialah: Pertama: apabila bercakap, dia sengaja berdusta dan tidak jujur dalam ucapannya. Kedua: Apabila membuat perjanjian, dia tidak menepatinya dan mengkhianati pihak yang membuat perjanjian dengannya. Ketiga: Apabila memberi janji, dia tidak menunaikannya dan mengingkarinya. Keempat: Apabila bertengkar atau berkelahi dengan seseorang, pertengkarannya menjadi keras, dia menyimpang daripada kebenaran, menggunakan tipu daya untuk menolak dan membatalkan, serta berkata perkara yang salah dan dusta. Sesungguhnya nifaq ialah menzahirkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang tersembunyi di dalam hati. Makna tersebut wujud pada orang yang memiliki sifat-sifat ini, dan nifaqnya berlaku terhadap orang yang dia bercakap, dijanjikan, dipercayai, bertengkar atau membuat janji dengannya, bukan bahawa dia seorang munafik dalam Islam yang zahirnya menunjukkan iman tetapi batinnya mengandungi kekufuran. Sesiapa yang wujud padanya salah satu sifat ini, maka dia memiliki sebahagian sifat nifaq sehingga dia meninggalkannya.
Daripada Abu Hurayrah رضي الله عنه, daripada Nabi صلى الله عليه وسلم: "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kuburku sebagai berhala", Allah melaknat suatu kaum yang menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid."
رواه أحمدNabi ﷺ berdoa kepada Tuhannya agar tidak menjadikan kubur baginda seperti berhala yang disembah manusia dengan mengagungkannya dan menghadapnya ketika sujud. Kemudian, baginda ﷺ memberitahu bahawa Allah telah menjauhkan dan mengusir dari rahmat-Nya sesiapa yang menjadikan kubur para nabi sebagai masjid; kerana menjadikan kubur sebagai masjid adalah jalan yang membawa kepada penyembahannya dan kepercayaan terhadapnya.