





























Hadeeth Cards
Da'wa cards that highlight great meanings from the noble prophetic hadiths in a simple style and attractive display that helps the Muslim to have a deeper understanding of his religion in an easy way
All
Daripada Abu Malik al-Ash‘ari رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Kesucian adalah separuh iman. Ucapan Alhamdulillah memenuhi timbangan dan ucapan Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi apa yang ada di langit dan di bumi., Solat itu cahaya, sedekah itu bukti, sabar itu sinar dan al-Quran akan menjadi pembela atau pendakwamu. Setiap manusia keluar (pada waktu pagi), lalu menjual dirinya; sama ada membebaskan dirinya (dengan amalan soleh) atau membinasakannya (dengan dosa)."
رواه مسلمRasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa kesucian zahir diperoleh melalui wuduk dan mandi. Ia merupakan syarat sah solat. Ucapan: “Alhamdulillah memenuhi timbangan” ialah pujian kepada-Nya SWT, dengan menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kesempurnaan, yang akan ditimbang pada hari kiamat dan memenuhi timbangan amal. Ucapan: “Subhanallah dan Alhamdulillah” ialah mensucikan-Nya daripada segala kekurangan dan menyifatkan-Nya dengan kesempurnaan mutlak yang sesuai dengan keagungan-Nya, disertai dengan kecintaan dan pengagungan terhadap-Nya, yang memenuhi antara langit dan bumi. "Solat itu cahaya” bagi hamba (yang terpancar) di dalam hatinya, wajahnya, kuburnya dan ketika dibangkitkan pada hari kiamat. “Sedekah itu bukti” menunjukkan keikhlasan iman seorang mukmin, berbeza dengan munafik yang menahan diri daripadanya kerana tidak mempercayai janji ganjarannya. “Kesabaran itu sinar” iaitu menahan diri daripada keluh kesah dan rasa kecewa merupakan cahaya yang menghasilkan kehangatan dan pembakaran, seperti cahaya matahari; kerana ia berat dan memerlukan perjuangan menundukkan nafsu daripada apa yang diingininya. Pemiliknya sentiasa diterangi cahaya, mendapat petunjuk dan terus berada di jalan yang benar. Kesabaran ini termasuk kesabaran dalam mentaati Allah, meninggalkan maksiat, serta bersabar menghadapi musibah dan pelbagai kesusahan di dunia. “Al-Quran menjadi pembela” melalui pembacaan dan pengamalannya, atau "menjadi pendakwa" jika ditinggalkan tanpa membaca atau mengamalkannya. Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa semua manusia bangun, bergerak, tidak tidur dan keluar dari rumah-rumah mereka untuk melakukan pelbagai pekerjaan. Terdapat di antara mereka yang istiqamah dalam ketaatan kepada Allah maka dia membebaskan dirinya daripada api neraka dan ada pula yang menyimpang serta melakukan maksiat sehingga menjerumuskan dirinya ke dalam neraka.
Daripada Mu‘az رضي الله عنه, beliau berkata: Aku membonceng di belakang Nabi ﷺ di atas seekor keldai yang bernama 'Ufair. Lalu baginda bersabda: “Wahai Mu'az, tahukah engkau hak Allah ke atas hamba-Nya, dan apa hak hamba ke atas Allah?” Aku menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya hak Allah ke atas hamba-Nya adalah agar mereka menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan hak hamba ke atas Allah adalah Dia tidak akan mengazab sesiapa yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun” Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, bolehkah aku sampaikan berita gembira ini kepada orang ramai?” Baginda bersabda: “Jangan sampaikan kepada mereka, nanti mereka akan berserah sahaja.”
متفق عليهNabi ﷺ menjelaskan hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya, dan hak hamba-hamba-Nya ke atas Allah, dan bahawa hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya adalah menyembah-Nya semata-mata tanpa mensyirikkan-Nya, Dan bahawa hak hamba ke atas Allah adalah Dia tidak akan mengazab golongan muwahidin yang tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun. Kemudian Mu'az berkata: “Wahai Rasulullah, bolehkah aku sampaikan berita gembira ini kepada orang ramai agar mereka dapat bergembira dan bersukacita dengan kurniaan ini?” Maka Nabi ﷺ melarangnya kerana khuatir mereka akan bergantung kepadanya.
Daripada Jabir RA, beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dua perkara yang mewajibkan itu?” Baginda bersabda: «Sesiapa yang mati tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu, maka dia akan masuk syurga; dan sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu, maka dia akan masuk neraka»
رواه مسلمSeorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ tentang dua perkara: yang menyebabkan masuk ke dalam syurga, dan yang menyebabkan masuk ke dalam neraka? Maka Nabi ﷺ menjawabnya bahawa perkara yang mewajibkan syurga ialah mati dalam keadaan menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, Dan bahawa perbuatan yang menyebabkan neraka adalah apabila seseorang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu, iaitu dengan menjadikan bagi Allah sekutu dan tandingan dalam uluhiyyah-Nya atau rububiyyah-Nya atau nama-nama dan sifat-sifat-Nya.
Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi رضي الله عنه, beliau berkata: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku satu ucapan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya tentangnya kepada sesiapa pun selain engkau.” Baginda bersabda: “Katakanlah: ‘ “Aku beriman kepada Allah" kemudian istiqamahlah.”
رواه مسلم وأحمدSahabat, iaitu Sufyan bin ‘Abdullah رضي الله عنه bertanya kepada Nabi ﷺ agar baginda mengajarkannya suatu ucapan yang merangkumi makna-makna Islam, yang dapat dijadikan pegangan dan tidak akan bertanya tentangnya kepada orang lain. Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya: “Katakanlah: Aku mengesakan Allah, dan aku beriman bahawa Dia adalah Rabb-ku, Tuhanku, Penciptaku dan Tuhan yang aku sembah, tiada sekutu bagi-Nya.” Kemudian tunduk kepada perintah Allah dengan menunaikan segala kewajipan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, serta konsisten dalam melakukannya.
Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As رضي الله عنهما, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: «Sesungguhnya Allah akan mengasingkan seorang lelaki daripada umatku di hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat, lalu dibentangkan di hadapannya sembilan puluh sembilan sijil (buku catatan amalan), setiap sijil panjangnya sejauh mata memandang. Kemudian Dia berfirman: Adakah kamu mengingkari sesuatu daripada catatan ini? Adakah para malaikat pencatat-Ku yang sentiasa menjaga telah menzalimimu? Maka dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku. Lalu Dia berfirman: Adakah kamu mempunyai sebarang alasan? Maka dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku. Lalu Dia berfirman: Bahkan, sesungguhnya kamu mempunyai satu kebaikan di sisi Kami, dan sesungguhnya tiada kezaliman ke atasmu pada hari ini. Lalu dikeluarkan sekeping kad yang tertera padanya: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya. Maka Dia berfirman: Saksikanlah penimbangan amalmu. Lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, apalah nilainya kad ini berbanding sijil-sijil ini? Maka Dia berfirman: Sesungguhnya kamu tidak akan dizalimi. Baginda bersabda: Maka diletakkanlah sijil-sijil itu pada satu piring neraca, dan kad itu pada piring neraca yang satu lagi, lalu melayang ringalah sijil-sijil itu dan memberatlah kad itu. Maka tiada suatu apa pun yang dapat menandingi berat nama Allah».
رواه الترمذي وابن ماجهNabi ﷺ mengkhabarkan bahawa Allah memilih seorang lelaki daripada kalangan umat-Nya di hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat, dia diseru untuk dihisab, lalu dibentangkan kepadanya sembilan puluh sembilan sijil, iaitu lembaran-lembaran catatan amalan buruknya yang dilakukannya di dunia, dan panjang setiap sijil adalah sejauh mata memandang, Allah SWT juga berfirman kepada lelaki ini: Adakah engkau mengingkari sesuatu daripada yang tertulis di dalam catatan-catatan ini? Adakah para malaikat-Ku yang ditugaskan menjaga dan mencatat telah menzalimimu? Maka lelaki itu berkata: "Tidak, ya Tuhanku." Maka Allah Azzawajalla berfirman: Adakah kamu mempunyai sebarang keuzuran atas amalan yang telah kamu lakukan di dunia, sama ada kerana alpa, atau tersilap, atau jahil, Lalu lelaki itu berkata: "Tidak, ya Tuhanku, aku tidak mempunyai alasan." Maka Allah Ta‘ala berfirman: "Bahkan, sesungguhnya engkau mempunyai satu kebaikan di sisi Kami, dan sesungguhnya tiada kezaliman ke atasmu pada hari ini." Dia berkata sambil mengeluarkan sekeping kad yang tertulis: Aku bersaksi tiada yang berhak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba serta utusan-Nya. Maka Allah SWT berfirman kepada lelaki ini: Hadirkanlah timbanganmu. Lelaki yang kehairanan itu bertanya: "Wahai Tuhanku! Apalah beratnya kad ini berbanding dengan rekod-rekod ini?!" Allah SWT berfirman: Engkau tidak akan dizalimi. Baginda bersabda: “Lalu diletakkanlah catatan-catatan itu pada satu piring timbangan, dan kad itu pada piring timbangan yang lain. Maka ringanlah piring timbangan yang berisi catatan-catatan itu, dan beratlah piring timbangan yang berisi kad itu. Lalu Allah mengampuninya.”
Daripada Abu Hurayrah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: «Ketika Allah menciptakan syurga dan neraka, Dia mengutuskan Jibril ‘alaihis salam ke syurga, lalu Dia berfirman: 'Lihatlah kepadanya dan kepada apa yang telah Aku sediakan untuk ahlinya di dalamnya.' Maka Jibril pun melihatnya lalu kembali dan berkata: 'Demi kemuliaan-Mu, tidak ada seorang pun yang mendengarnya melainkan pasti akan memasukinya.' Maka Allah memerintahkan agar syurga diliputi dengan perkara-perkara yang dibenci, lalu Dia berfirman: 'Pergilah kepadanya, lihatlah kepadanya dan kepada apa yang telah Aku sediakan untuk ahlinya di dalamnya.' Maka Jibril melihat kepadanya, dan ternyata ia telah diliputi dengan perkara-perkara yang dibenci. Lalu dia berkata: 'Demi kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku bimbang tiada seorang pun yang akan dapat memasukinya.' Dia berfirman: 'Pergilah, lihatlah neraka dan apa yang telah Aku sediakan untuk ahlinya di dalamnya.' Maka Jibril melihat kepadanya, dan ternyata api neraka bergelora sebahagiannya menimpa sebahagian yang lain. Lalu dia kembali dan berkata: 'Demi kemuliaan-Mu, tiada seorang pun yang akan memasukinya.' Maka Allah memerintahkan agar neraka diliputi dengan syahwat, lalu Dia berfirman: 'Kembalilah dan lihatlah kepadanya.' Maka Jibril melihat kepadanya, dan ternyata ia telah diliputi dengan syahwat. Lalu dia kembali dan berkata: 'Demi kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku bimbang tiada seorang pun yang akan selamat daripadanya, melainkan dia pasti akan memasukinya».
رواه أبو داود والترمذي والنسائيNabi ﷺ memberitahu bahawa apabila Allah menciptakan syurga dan neraka, Dia berfirman kepada Jibril عليه السلام: "Pergilah ke syurga dan lihatlah kepadanya," lalu dia pergi melihatnya, kemudian kembali, Maka Jibril berkata: "Wahai Tuhanku, demi keagungan-Mu, tiada sesiapa pun yang mendengar tentangnya serta segala kenikmatan, kemuliaan dan kebaikan yang ada di dalamnya, melainkan dia pasti berhasrat untuk memasukinya dan beramal deminya." Kemudian Allah meliputi syurga dengan perkara-perkara yang dibenci dan kesukaran, iaitu melakukan segala perintah dan menjauhi segala larangan; maka sesiapa yang ingin memasukinya, hendaklah dia melepasi perkara-perkara yang dibenci tersebut. Kemudian Allah Azza wa Jalla berfirman: Wahai Jibril! Pergilah dan lihatlah syurga, setelah Aku mengelilinginya dengan perkara-perkara yang dibenci, Maka dia pun pergi melihatnya, kemudian kembali lalu berkata: “Wahai Tuhanku, demi kemuliaan-Mu, aku takut tiada seorang pun akan memasukinya disebabkan kesukaran dan kepayahan yang ada pada jalannya.” Dan apabila Allah SWT menciptakan Neraka, Dia berfirman: “Wahai Jibril! Pergilah dan lihatlah ia,” maka Jibril pun pergi lalu melihatnya, Kemudian Jibril datang lalu berkata: "Wahai Tuhanku, demi kemuliaan-Mu, tidak ada seorang pun yang mendengar tentang azab, kesengsaraan dan penyeksaan yang ada di dalamnya, melainkan dia pasti akan benci untuk memasukinya dan akan menjauhi sebab-sebabnya." Kemudian Allah SWT mengelilingi Neraka dan menjadikan jalan yang menuju kepadanya dengan syahwat dan kelazatan, kemudian Dia berfirman: “Wahai Jibril, pergilah dan lihatlah kepadanya,” Maka Jibril pun pergi lalu melihat ke arahnya, kemudian dia kembali dan berkata: "Wahai Tuhanku, demi keagungan-Mu, aku sangat bimbang dan khuatir bahawa tiada seorang pun yang akan selamat daripadanya; kerana ia dikelilingi oleh pelbagai syahwat dan kelazatan."
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As رضي الله عنهما, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah telah menulis takdir makhluk sebelum Dia menciptakan langit dan bumi selama lima puluh ribu tahun, sedang Arasy-Nya berada di atas air.”
رواه مسلمNabi ﷺ mengkhabarkan bahawa Allah telah menulis takdir makhluk secara terperinci, merangkumi kehidupan, kematian, rezeki dan sebagainya, di dalam Lawh Mahfuz sebelum Dia menciptakan langit dan bumi selama lima puluh ribu tahun, dan ia berlaku menurut apa yang telah ditetapkan oleh Allah, Maka segala sesuatu yang berlaku adalah dengan qada' dan qadar Allah, Apa yang menimpa seorang hamba tidak mungkin tersasar daripadanya, dan apa yang tidak ditakdirkan untuknya tidak akan menimpanya.
Daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap syahadah bahawa tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah, dan bahawa Muhammad ialah utusan Allah, serta menunaikan solat dan membayar zakat, apabila mereka melakukan semua itu, maka darah dan harta mereka terpelihara daripadaku kecuali menurut hak (menurut) Islam, dan perhitungan mereka di sisi Allah.”
متفق عليهNabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa Allah memerintahkan baginda untuk memerangi kaum musyrik sehingga mereka mengucap syahadah bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah sahaja, tiada sekutu bagi-Nya dan mereka mengakui Muhammad صلى الله عليه وسلم sebagai Rasul-Nya, serta melaksanakan tuntutan syahadah itu dengan menegakkan solat lima waktu dan menunaikan zakat yang wajib kepada yang berhak (mendapatnya). Apabila mereka sudah melakukan perkara-perkara tersebut maka Islam memelihara nyawa dan harta mereka, tidak halal membunuh mereka melainkan jika mereka melakukan jenayah atau kesalahan yang memang layak dikenakan hukuman mati menurut hukum Islam. Kemudian pada hari kiamat, Allah SWT akan mengadili mereka kerana Dia Maha Mengetahui segala yang tersimpan dalam hati mereka.
Daripada Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah mengampuni umatku kerana kesilapan, kelalaian dan apa sahaja yang mereka dipaksa melakukannya.”
رواه ابن ماجه والبيهقي وغيرهماNabi ﷺ memberitahu bahawa Allah telah memberi pengampunan kepada umat Baginda dalam tiga keadaan: Pertama: Kesilapan – iaitu perbuatan yang dilakukan tanpa niat sengaja. Maksudnya, seorang Muslim berniat melakukan sesuatu, tetapi hasil perbuatannya berbeza daripada yang dimaksudkan. Kedua: Lupa – iaitu apabila seorang Muslim sedar akan sesuatu, tetapi terlupa sewaktu melakukan perbuatan itu. Dalam hal ini, tiada dosa dikenakan. Ketiga: Dipaksa – iaitu apabila seorang hamba dipaksa melakukan sesuatu yang tidak dikehendakinya dan dia tidak mampu menolak paksaan itu. Dalam keadaan ini, tiada dosa yang dikenakan ke atasnya. Perlu diperhatikan bahawa topik hadis ini adalah mengenai hubungan hamba dengan Tuhannya dalam melakukan perkara yang diharamkan. Adapun jika meninggalkan perintah kerana lupa, maka tidak gugur. Namun, jika perbuatan itu mengakibatkan kemudaratan kepada makhluk, maka hak makhluk tidak gugur. Contohnya jika membunuh secara tidak sengaja, wajib membayar diyat, atau merosakkan kereta secara tidak sengaja, wajib menanggung ganti rugi.