





























Hadeeth Cards
Da'wa cards that highlight great meanings from the noble prophetic hadiths in a simple style and attractive display that helps the Muslim to have a deeper understanding of his religion in an easy way
All
Daripada 'Uqbah bin 'Amir al-Juhani RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Orang yang membaca al-Quran secara terang-terangan adalah seperti orang yang bersedekah secara terang-terangan, dan orang yang membaca al-Quran secara sembunyi-sembunyi adalah seperti orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi.”
رواه أبو داود والترمذي والنسائيNabi ﷺ menjelaskan bahawa orang yang membaca al-Quran secara terang-terangan adalah seperti orang yang bersedekah secara terang-terangan, dan orang yang membaca al-Quran secara sembunyi-sembunyi adalah seperti orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi.
Daripada Abu Hurayrah رضي الله عنه, beliau berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Antara (tanda) bagusnya Islam seseorang itu adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berfaedah buat dirinya.”
رواه الترمذي وغيرهNabi ﷺ menerangkan bahawa sebahagian daripada (tanda) kesempurnaan baiknya Islam seseorang Muslim dan keutuhan imannya ialah dia menjauhi perkara yang tidak bererti buatnya, tidak berkaitan dengannya, tidak penting baginya, dan tidak memberi manfaat kepadanya, sama ada dalam perkataan, perbuatan, atau hal-hal yang tidak berkaitan dengannya dari segi keagamaan mahupun keduniaan. Seseorang insan yang menyibukkan diri dalam perkara yang bukan urusannya mungkin akan menyibukkannya daripada perkara yang sepatutnya diutamakan atau membawa kepada perkara yang wajib dijauhinya. Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan atas amalannya pada hari kiamat.
Daripada Abu al-‘Abbas, Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi رضي الله عنه, beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ dan berkata: Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amalan, jika aku melakukannya, Allah akan mencintaiku dan manusia juga mencintaiku. Lantas Nabi ﷺ bersabda: "Bersederhanalah dalam urusan dunia, nescaya Allah akan mencintaimu, dan bersederhanalah dalam apa yang dimiliki manusia, nescaya manusia akan mencintaimu."
رواه ابن ماجه وغيره بأسانيد حسنةSeorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ agar diberitahu tentang amalan yang jika dilakukan, Allah mencintainya dan manusia juga mencintainya. Baginda ﷺ menjawab: Allah mencintaimu apabila kamu meninggalkan kelebihan dunia dan apa sahaja yang tidak bermanfaat untuk akhirat, serta menjauhi perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada agamamu. Manusia mencintaimu apabila kamu bersederhana terhadap apa yang mereka miliki dari dunia; kerana secara fitrah, mereka menyukainya, dan sesiapa yang bersaing dengannya, mereka membencinya, tetapi sesiapa yang meninggalkannya kepada mereka, mereka menyayanginya.
Daripada Al-Miqdām bin Ma‘dī Karib رضي الله عنه, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: "Tidaklah seorang anak Adam itu memenuhi sesuatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah beberapa suapan untuk anak Adam menegakkan tulang belakangnya. Jika tidak dapat dielakkan, maka (jadikanlah) sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya."
رواه الإمام أحمد والترمذي والنسائي وابن ماجهNabi yang mulia ﷺ membimbing kita kepada salah satu prinsip asas perubatan, iaitu pencegahan yang menjaga kesihatan manusia. Pencegahan itu adalah dengan mengurangkan makan, bahkan hendaklah seseorang makan secukupnya sahaja untuk mengenyangkan perutnya dan menguatkannya bagi menunaikan amalan-amalan yang perlu dilaksanakannya. Sesungguhnya bekas yang paling buruk yang dipenuhkan ialah perut, kerana akibat kenyang boleh menimbulkan pelbagai penyakit yang merbahaya, sama ada segera atau lambat, zahir atau batin, yang tidak terhitung jumlahnya. Kemudian, Rasulullah ﷺ bersabda: Jika seseorang manusia tidak dapat dielakkan daripada kenyang, hendaklah dia membahagikan makannya menjadi satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga untuk nafas, supaya dia tidak mengalami kesempitan atau kemudaratan, serta tidak menjadi malas dalam menunaikan apa yang diwajibkan Allah ke atasnya dalam urusan agamanya atau dunianya.
Daripada 'Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bangun setelah merejam lelaki daripada kabilah al-Aslami, lalu baginda bersabda: “Jauhilah kotoran ini (zina) yang Allah larang daripadanya. Sesiapa yang terlanjur melakukannya maka hendaklah dia menutup dirinya dengan perlindungan Allah dan bertaubat kepada-Nya. Sesungguhnya sesiapa yang menzahirkan (dosanya) kepada kami, nescaya kami akan melaksanakan hukum Allah عز وجل ke atasnya.”
رواه الحاكم والبيهقيIbnu ‘Umar رضي الله عنهما memberitahu bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم berdiri setelah merejam Ma‘iz bin Malik al-Aslami رضي الله عنه dengan hukuman hudud zina, lalu baginda berkhutbah kepada orang ramai dan bersabda: Jauhilah kotoran ini (zina) dan segala perkara keji serta tercela berupa maksiat yang Allah larang daripadanya. Sesiapa yang terjerumus serta melakukan sebahagian daripadanya, maka wajib ke atasnya dua perkara: Pertama: Hendaklah dia menutup (aibnya) sebagaimana Allah telah menutupnya dan janganlah dia memberitahu tentang maksiatnya. Kedua: Hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah dan tidak berterusan melakukannya. Sesiapa yang jelas kepada kami maksiatnya, maka kami akan menegakkan hukuman hudud yang telah disebut dalam Kitab Allah عز وجل bagi maksiat tersebut.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Janganlah kamu saling iri hati, saling menipu, saling membenci, saling berpaling, dan janganlah ada antara kamu menjual sesuatu atas jualan orang lain. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya, tidak meninggalkannya, dan tidak merendahkannya. Taqwa berada di sini,” sambil baginda menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga kali. “Cukuplah bagi seseorang dianggap jahat apabila dia merendahkan saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim adalah haram terhadap Muslim yang lain sama ada darahnya, hartanya dan maruahnya.”
رواه مسلمNabi صلى الله عليه وسلم mewasiatkan kepada seorang Muslim agar berbuat baik kepada saudaranya sesama Muslim, dan baginda menjelaskan sebahagian daripada kewajipan dan adab yang harus dilaksanakan terhadap mereka, antaranya: Wasiat yang pertama: Jangan saling hasad dengki sehingga wujud antara kamu mengharapkan hilangnya nikmat orang lain. Wasiat yang kedua: Jangan saling menipu dalam tawar-menawar sehingga seseorang menaikkan harga barang sedangkan dia tidak berniat untuk membelinya. Sebaliknya hanya mahu menguntungkan penjual atau merugikan pembeli. Wasiat yang ketiga: Jangan saling membenci, iaitu menghendaki kemudaratan orang lain, kerana ia bertentangan dengan kasih sayang; kecuali jika kebencian itu kerana Allah تعالى, maka ia adalah wajib. Wasiat yang keempat: Jangan saling berpaling belakang, iaitu supaya seorang daripada kamu tidak memalingkan belakangnya daripada saudaranya dan menjauhkan diri daripadanya. Wasiat yang kelima: Jangan ada antara kamu menjual sesuatu atas jualan orang lain dengan mengatakan kepada pembeli: “Saya ada yang serupa dengan harga lebih rendah atau lebih baik dengan harga itu.” Kemudian Baginda صلى الله عليه وسلم mewasiatkan dengan wasiat yang holistik, seraya bersabda: “Dan jadilah kamu seperti saudara dengan meninggalkan perkara-perkara yang telah disebut sebagai larangan, serta menzahirkan kasih sayang, kelembutan, belas kasihan, lemah lembut, dan kerjasama dalam kebaikan, disertai hati yang tulus dan memberi nasihat dalam setiap keadaan.” Antara tuntutan persaudaraan ini ialah: Seorang muslim tidak menzalimi dan tidak menindas saudaranya yang muslim. Seorang muslim tidak membiarkan saudaranya dizalimi lalu meninggalkannya dalam keadaan lemah, padahal dia mampu menolong serta menghapuskan kezaliman terhadapnya. Dia tidak merendahkannya, memandang rendah atau memandangnya dengan pandangan hina dan ejekan kerana sikap ini berpunca daripada kesombongan di dalam hati. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم menegaskan sebanyak tiga kali bahawa takwa itu berada di dalam hati. Sesiapa yang hatinya memiliki takwa yang menuntut akhlak yang baik, takut kepada Allah dan sentiasa memerhatikan-Nya, maka dia tidak akan merendahkan seorang muslim. Ini sudah memadai untuk menangkis sifat jahat dan kejahatan akhlak berupa merendahkan saudaranya sesama muslim, kerana perbuatan itu berpunca daripada kesombongan di dalam hati. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم menegaskan lagi bahawa seluruh diri seorang Muslim adalah haram ke atas Muslim yang lain, darahnya, iaitu tidak boleh dizalimi dengan dibunuh atau selainnya seperti dilukai, dipukul dan seumpamanya; begitu juga hartanya, tidak boleh diambil tanpa hak; serta maruahnya, tidak boleh dicela sama ada pada dirinya atau keturunannya.
Daripada Abū Hurayrah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesusahan, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa membantu hamba-Nya selagi hamba itu membantu saudaranya. Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama melainkan akan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah menyebut mereka dalam kalangan makhluk yang ada di sisi-Nya. Dan sesiapa yang amalnya melambatkannya, nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”
رواه مسلمNabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa ganjaran seorang Muslim di sisi Allah adalah sejenis dengan apa yang dia lakukan terhadap sesama Muslim. Maka sesiapa yang meringankan, melepaskan, menghilangkan dan melenyapkan kesusahan serta kesempitan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan membalasnya dengan meringankan baginya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesempitan, memberi kelapangan kepadanya, dan menghilangkan kesukarannya, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, umpamanya jika dia mengetahui kesilapan dan kekhilafan yang tidak patut didedahkan daripadanya, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba itu menolong saudaranya dalam urusan agama dan dunianya. Bantuan itu boleh diberikan melalui doa, tenaga, harta dan lain-lain. Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu syariat dengan niat mengharap keredaan Allah Taala, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan diturunkan kepada mereka ketenangan dan kedamaian, diliputi dan diselubungi rahmat Allah, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah memuji mereka dalam kalangan makhluk yang dekat dengan-Nya. Cukuplah sebagai satu kemuliaan apabila Allah menyebut nama hamba-Nya dalam kalangan penduduk langit. Sesiapa yang amalannya kurang, yang tidak melayakkannya untuk mencapai kedudukan orang-orang yang banyak beramal, dia tidak patut bergantung kepada kemuliaan nasab dan keutamaan bapanya sambil mengambil ringan akan amalannya sendiri.
Daripada Abu Ruqayyah, Tamim bin Aus al-Dari رضي الله عنه bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: "Agama itu nasihat" Kami bertanya: "Untuk siapa?" Baginda menjawab: "Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam dan seluruh kaum Muslimin."
رواه مسلمNabi ﷺ mengkhabarkan bahawa agama ini berdiri di atas keikhlasan dan kebenaran, sehingga ia dilaksanakan sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah dengan sempurna tanpa sebarang kecuaian atau penipuan. Lalu ditanya kepada Nabi ﷺ: “Untuk siapa nasihat itu?” Lalu Baginda bersabda: Pertama: Nasihat kerana Allah SWT Iaitu dengan mengikhlaskan segala amalan hanya untuk-Nya, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun, beriman dengan keesaan-Nya dalam rububiyyah dan uluhiyyah-Nya, serta dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Begitu juga dengan mengagungkan perintah-Nya dan menyeru manusia supaya beriman kepada-Nya. Kedua: Nasihat terhadap kitab-Nya iaitu al-Quran al-Karim: dengan meyakini bahawa ia adalah kalam-Nya, kitab terakhir-Nya, dan ia menghapuskan semua syariat sebelumnya. Kita hendaklah mengagungkannya, membacanya dengan bacaan yang sebenar, beramal dengan ayat-ayat yang muhkam (sudah jelas hukumnya), menerima ayat-ayat yang mutasyabih (perlu diperjelaskan), mempertahankannya daripada tafsiran golongan yang menyeleweng, mengambil iktibar daripada peringatannya, menyebarkan ilmunya, serta mengajak manusia kepadanya. Ketiga: Nasihat untuk Rasul-Nya Muhammad ﷺ dengan meyakini bahawa baginda adalah penutup para rasul, membenarkan apa yang baginda bawa, mentaati perintahnya, menjauhi larangannya, tidak beribadah kepada Allah kecuali dengan apa yang disyariatkannya, mengagungkan haknya, memuliakannya, menyebarkan dakwahnya, menyebarkan syariatnya serta menolak segala tuduhan terhadapnya. Keempat: Nasihat untuk para pemimpin umat Islam dengan membantu mereka menegakkan kebenaran, tidak merampas kuasa daripada mereka, mendengar dan taat kepada mereka dalam perkara ketaatan kepada Allah. Kelima: Nasihat untuk seluruh kaum Muslimin dengan berbuat baik kepada mereka, mengajak mereka kepada kebaikan, menahan diri daripada menyakiti mereka, mengasihi mereka dengan menginginkan kebaikan untuk mereka, serta bekerjasama dengan mereka dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Setiap sendi tubuh manusia mempunyai hak untuk disedekahkan. Setiap hari yang terbitnya matahari, yang mana engkau berlaku adil antara dua pihak (yang berbalah) adalah sedekah. Menolong seseorang menaiki tunggangannya atau menolong mengangkat barangnya ke atasnya adalah sedekah. Perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah yang diambil menuju solat adalah sedekah. Dan menghilangkan bahaya daripada jalan juga adalah sedekah.”
رواه البخاري ومسلمRasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa setiap Muslim yang mukallaf perlu setiap hari memberikan sedekah bagi setiap sendi daripada sendi-sendi tulangnya secara sukarela kepada Allah Ta‘ala, sebagai tanda syukur atas kesihatan dan Allah menjadikan tulangnya dengan sendi-sendi agar dia mampu menggenggam dan melepaskan sesuatu. Sedekah itu dilaksanakan melalui amal-amal kebajikan dan tidak terhad kepada pemberian harta sahaja, antaranya: Menyatukan dan memperbaiki hubungan antara dua pihak yang berselisih adalah sedekah. Bantuan kamu kepada orang yang lemah untuk menaiki tunggangannya atau mengangkat barangnya adalah satu sedekah. Ucapan yang baik, sama ada zikir, doa, salam, atau seumpamanya adalah sedekah. Setiap langkah yang engkau ambil menuju solat adalah sedekah. Menyingkirkan gangguan di jalanan adalah sedekah.