





























Hadeeth Cards
Da'wa cards that highlight great meanings from the noble prophetic hadiths in a simple style and attractive display that helps the Muslim to have a deeper understanding of his religion in an easy way
All
Daripada al-Nawwās bin Samʿān al-Anṣārī رضي الله عنه, beliau berkata: Aku bertanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم tentang kebaikan dan dosa, lalu Baginda bersabda: “Kebaikan itu ialah akhlak yang baik, dan dosa ialah sesuatu yang terdetik dalam hatimu dan engkau tidak suka jika ia diketahui oleh manusia.”
رواه مسلمNabi صلى الله عليه وسلم ditanya tentang kebaikan dan kejahatan, lalu Baginda bersabda: Sifat kebaikan yang paling agung ialah berakhlak mulia dengan Allah melalui takwa dan dengan makhluk melalui kesabaran menanggung gangguan, kurang marah, wajah yang ceria, tutur kata yang baik, menjalin hubungan silaturahim, ketaatan, kelembutan, kebaikan, serta berakhlak baik dalam pergaulan dan persahabatan. Adapun kejahatan itu ialah sesuatu yang timbul dalam jiwa daripada perkara-perkara yang meragukan dan berulang-ulang (dalam fikiran) tanpa hati merasa tenang terhadapnya, lalu timbul keraguan dalam hati serta rasa takut bahawa ia merupakan satu dosa. Seseorang juga tidak mahu perkara itu diketahui orang ramai kerana ia dianggap buruk di sisi orang-orang yang terhormat, mulia dan sempurna akalnya. Hal ini kerana fitrah jiwa itu suka jika orang mengetahui kebaikannya. Maka apabila dia membenci untuk sesuatu perbuatannya diketahui orang, itu adalah dosa yang tiada kebaikan padanya.
Daripada Abu Mas‘ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesungguhnya antara perkara yang manusia perolehi daripada kata-kata nabi terdahulu ialah: “Jika engkau tidak malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu.”
رواه البخاريNabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa antara kata-kata yang sampai sebagai wasiat daripada para nabi terdahulu, yang berleluasa penggunaannya dalam kalangan manusia dan diwarisi sejak turun-temurun, sehingga sampai kepada generasi awal umat ini ialah: Perhatikan apa yang kamu ingin lakukan; jika ia sesuatu yang tidak memalukan, maka lakukanlah, tetapi jika ia sesuatu yang memalukan, maka tinggalkannya. Sesungguhnya penghalang daripada melakukan perkara keji ialah sifat malu. Maka sesiapa yang tidak memiliki rasa malu, dia akan terjerumus dalam segala bentuk kejahatan dan kemungkaran.
Daripada ʿAbdullāh bin ʿUmar رضي الله عنهما, beliau berkata: Rasulullah ﷺ memegang bahuku, lalu baginda bersabda: "Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau seorang pengembara." Ibn ʿUmar رضي الله عنهما berkata: "Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah menunggu waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah menunggu waktu petang. Ambillah (manfaat) daripada masa sihatmu untuk (persiapan menghadapi) sakitmu dan daripada hidupmu untuk (persiapan menghadapi) matimu."
رواه البخاريIbn ʿUmar رضي الله عنهما menyebutkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم memegang bahunya – iaitu (tulang) pertemuan antara lengan atas dan bahu – lalu bersabda kepadanya: Jadilah engkau di dunia seperti seorang asing yang datang ke sebuah negeri tanpa rumah untuk berteduh dan tanpa teman yang menghiburnya, tiada keluarga, anak-anak, dan segala keterikatan yang menjadi sebab lalai daripada Sang Pencipta. Bahkan jadilah engkau lebih daripada itu, iaitu seperti seorang pengembara yang hanya melewati jalan untuk menuju kampung halamannya. Seorang asing mungkin menetap di negeri asing dan tinggal di situ, sedangkan seorang pengembara yang menuju suatu negeri, sifatnya ringan beban dan tidak berhenti, serta bersungguh-sungguh mencapai destinasinya. Maka sebagaimana seorang musafir tidak memerlukan lebih daripada apa yang membantunya sampai ke tujuan perjalanannya, demikian pula seorang mukmin di dunia tidak memerlukan lebih daripada apa yang dapat membawanya sampai ke tempat kembali (akhirat).” Maka Ibn ʿUmar رضي الله عنهما mengamalkan nasihat ini dan beliau berkata: “Apabila engkau berada pada waktu pagi, janganlah menunggu waktu petang, dan apabila engkau berada pada waktu petang, janganlah menunggu waktu pagi. Anggaplah dirimu termasuk dalam kalangan penghuni kubur, kerana sesungguhnya umur itu tidak terlepas daripada sihat dan sakit. Maka segeralah pada hari-hari sihatmu dengan ketaatan sebagai persediaan untuk sakitmu dan rebutlah amalan-amalan soleh ketika sihat sebelum sakit menghalangmu daripadanya. Manfaatkanlah hidupmu di dunia ini, lalu kumpulkanlah padanya apa yang memberi manfaat kepadamu selepas kematianmu.
Daripada ʿAbdullāh bin Busr رضي الله عنه bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat-syariat Islam telah banyak bagiku, maka beritahulah kepadaku satu perkara yang boleh aku berpegang teguh padanya.” Baginda bersabda: “Engkau hendaklah sentiasa basahi lidahmu dengan mengingati Allah.”
رواه الترمذي وابن ماجه وأحمدSeorang lelaki mengadu kepada Nabi صلى الله عليه وسلم bahawa amalan-amalan sunat telah banyak sehingga dia tidak mampu melaksanakannya kerana kelemahannya. Kemudian dia meminta Nabi صلى الله عليه وسلم menunjukkan kepadanya satu amalan yang ringan tetapi mendatangkan ganjaran besar untuk dia amalkan dan berpegang teguh dengannya. Maka Nabi صلى الله عليه وسلم membimbingnya agar lidahnya sentiasa basah dengan berterusan mengingati Allah سبحانه وتعالى pada setiap waktu dan keadaan, sama ada dengan tasbih, tahmid, istighfar, doa dan sebagainya.
Daripada Anas رضي الله عنه, daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, baginda bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”
متفق عليهRasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa iman yang sempurna bagi seorang Muslim tidak akan tercapai sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri dari segi ketaatan dan pelbagai kebaikan dalam agama dan dunia, serta membenci apa yang dibencinya untuk dirinya sendiri. Jika dia melihat saudaranya kekurangan dalam agamanya maka dia berusaha memperbaikinya, dan jika dia melihat kebaikan padanya maka dia membimbing dan menolongnya, serta menasihatinya dalam hal agama atau dunianya.
Daripada Anas رضي الله عنه, beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: Wahai Rasulullah, tiada dosa kecil mahupun besar yang tidak aku lakukan. Baginda bersabda: «Bukankah kamu bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah?» sebanyak tiga kali. Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda: «Maka sesungguhnya ia akan menghapuskan semua itu.»
رواه أبو يعلى والطبراني والضياء المقدسيSeorang lelaki datang kepada Nabi صلى الله عليه وسلم lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melakukan segala dosa dan maksiat, dan tidak aku tinggalkan dosa yang kecil mahupun yang besar melainkan aku telah melakukannya, maka adakah aku akan diampuni?” Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya: "Bukankah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah?" Dia mengulangkannya kepadanya sebanyak tiga kali, Maka dia menjawab: "Ya, aku bersaksi," Maka Nabi ﷺ memberitahunya tentang kelebihan dua kalimah syahadah dan pengguguran dosa-dosa olehnya, dan bahawa taubat menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu.
Daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Nabi ﷺ bersabda: "Janganlah kamu mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama, atau untuk berdebat dengan orang bodoh, atau untuk menarik perhatian dalam majlis-majlis. Sesiapa yang melakukan demikian, maka nerakalah, nerakalah."
رواه ابن ماجهNabi ﷺ telah memberi amaran tentang perbuatan menuntut ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama, dan menzahirkan diri sebagai seorang alim seperti mereka; atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh dan yang cetek akalnya; atau mempelajarinya untuk mendapat kedudukan utama dalam majlis-majlis dan didahulukan mengatasi orang lain di dalamnya. Maka sesiapa yang berbuat demikian, dia berhak mendapat neraka kerana riaknya dan tidak ikhlas dalam menuntut ilmu kerana Allah.
Daripada al-Nawwās bin Samʿān al-Anṣārī رضي الله عنه, daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda: “Allah membuat satu perumpamaan iaitu sebuah jalan yang lurus. Di kedua-dua belah sisi jalan itu terdapat dua dinding, yang padanya terdapat pintu-pintu yang terbuka, dan pada pintu-pintu itu ada tirai-tirai yang dilabuhkan. Di pintu jalan itu ada seorang penyeru yang berkata: ‘Wahai sekalian manusia, masuklah kamu semua ke jalan ini, dan janganlah kamu menyimpang.’ Dan ada seorang penyeru yang menyeru dari atas jalan itu. Apabila seseorang ingin membuka salah satu daripada pintu-pintu itu, penyeru itu akan berkata: ‘Celaka kamu! Jangan membukanya, kerana sesungguhnya jika kamu membukanya, nescaya kamu akan memasukinya.’ Jalan itu ialah Islam, kedua-dua dinding itu ialah batasan-batasan Allah, pintu-pintu yang terbuka ialah perkara-perkara yang diharamkan Allah, penyeru yang berada di permulaan jalan itu ialah Kitab Allah, dan penyeru dari atas jalan itu ialah penasihat daripada Allah di dalam hati setiap Muslim.”
رواه الترمذي وأحمدNabi ﷺ menjelaskan bahawa Allah telah membuat satu perumpamaan bagi Islam seperti sebatang jalan yang lurus terbentang tanpa sebarang kebengkokan. Di kedua-dua belah sisi jalan ini, terdapat dua tembok yang mengelilinginya, iaitu had-had (batasan) Allah. Pada kedua-dua tembok ini terdapat pintu-pintu yang terbuka, iaitu perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Pada pintu-pintu tersebut, tergantung tirai-tirai yang menghalang orang yang lalu-lalang daripada melihat apa yang ada di dalamnya. Di permulaan jalan, terdapat seorang penyeru yang memberi petunjuk kepada manusia dengan berkata: "Teruskan perjalanan di atas jalan ini dan jangan menyimpang." Penyeru ini ialah Kitab Allah. Terdapat seorang lagi penyeru dari atas jalan itu. Setiap kali orang yang berjalan di atas jalan itu berniat untuk membuka sedikit tirai pada pintu-pintu tersebut, penyeru ini akan mengherdiknya dan berkata: "Celakalah kamu, jangan membukanya! Sesungguhnya jika kamu membukanya, nescaya kamu akan memasukinya, dan kamu tidak akan mampu menahan dirimu daripada masuk ke dalamnya." Dan penyeru ini ialah peringatan daripada Allah di dalam hati setiap orang Muslim.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: "Adakah salah seorang antara kamu suka apabila pulang kepada keluarganya, dia mendapati tiga ekor unta bunting yang besar lagi gemuk?" Kami menjawab: "Ya." Baginda bersabda: "Maka tiga ayat yang dibaca oleh salah seorang antara kamu dalam solatnya adalah lebih baik baginya daripada tiga ekor unta bunting yang besar lagi gemuk."
رواه مسلمNabi ﷺ menerangkan bahawa ganjaran membaca tiga ayat di dalam solat adalah lebih baik daripada seseorang mendapati di rumahnya tiga ekor unta betina yang bunting, besar lagi gemuk.