





























Hadeeth Cards
Da'wa cards that highlight great meanings from the noble prophetic hadiths in a simple style and attractive display that helps the Muslim to have a deeper understanding of his religion in an easy way
All
Daripada Abu Najih, al-‘Irbadh bin Sāriyyah رضي الله عنه, beliau berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberikan nasihat yang begitu menyentuh hati, sehingga hati kami menjadi gementar dan berlinangan air mata. Kami berkata: ‘Wahai Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat seorang yang mahu berpisah, maka nasihatilah kami.’ Baginda bersabda:” “Aku wasiatkan kepada kamu supaya bertakwa kepada Allah, dan patuh serta taat, walaupun seorang hamba memimpin kamu. Sesungguhnya sesiapa antara kamu yang hidup selepas (pemergian) aku, nescaya akan menyaksikan banyak perselisihan. Oleh itu, peganglah teguh sunnahku dan sunnah para Khulafa al-Rashidin, yang mendapat petunjuk, gigitlah ia dengan gigi geraham kalian. Jauhilah segala perkara yang diada-adakan, kerana setiap bidaah itu adalah sesat.”
رواه أبو داود والترمذيNabi صلى الله عليه وسلم telah memberi satu nasihat yang sangat menusuk hati kepada para sahabatnya, sehingga hati mereka merasa takut dan air mata mereka bercucuran. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat seorang yang hendak berpisah, kerana mereka melihat betapa bersungguh-sungguhnya baginda صلى الله عليه وسلم dalam memberi nasihat itu. Maka mereka meminta wasiat yang boleh mereka berpegang teguh dengannya selepas ketiadaan baginda. Baginda bersabda: Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, iaitu dengan melaksanakan kewajipan-kewajipan dan meninggalkan perkara-perkara yang haram. Dan (aku wasiatkan juga) supaya kamu dengar dan taat (kepada pemimpin), iaitu kepada para pemerintah. Sekalipun seorang hamba menjadi pemimpin kamu atau menguasai kamu – iaitu orang yang paling rendah kedudukannya menjadi pemimpin atasan kamu – maka janganlah kamu merasa keberatan untuk taat kepadanya. Hal ini bagi mengelakkan timbulnya fitnah. Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup selepas kamu akan melihat banyak perselisihan. Kemudian baginda menerangkan kepada mereka jalan keluar daripada perselisihan itu, iaitu dengan berpegang teguh kepada sunnah baginda dan sunnah para al-Khulafa al-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepas (pemergian) baginda, iaitu Abu Bakar al-Siddiq, ‘Umar bin al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, dan ‘Ali bin Abi Talib رضي الله عنهم أجمعين. Dan (baginda menyuruh) menggigitnya dengan gigi geraham, iaitu bersungguh-sungguh dalam malazimi sunnah dan berpegang dengannya. Baginda memperingatkan mereka daripada perkara-perkara baru yang diada-adakan dalam agama, kerana sesungguhnya setiap bid'ah itu adalah sesat.
Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda: "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa, dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya di dalam neraka."
رواه البخاريNabi ﷺ memerintahkan untuk menyampaikan ilmu daripada Baginda, sama ada daripada al-Quran atau sunnah, walaupun hanya sedikit seperti satu ayat al-Quran atau sepotong hadis, dengan syarat dia berilmu tentang apa yang disampaikan dan didakwahkannya. Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa tidak mengapa menceritakan kisah-kisah daripada Bani Israel, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat kita. Kemudian baginda memberi amaran tentang berdusta atas nama baginda, bahawa sesiapa yang berdusta atas nama baginda dengan sengaja, maka hendaklah dia mengambil tempatnya di dalam neraka.
Daripada Al-Miqdām bin Ma‘dī Karib رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: «Ketahuilah, jangan-jangan akan ada seorang lelaki yang sampai kepadanya hadis daripadaku, sedang dia bersandar di atas kerusi empuknya, lalu berkata: “Pegangan antara kami dan kamu ialah Kitabullah, apa sahaja yang kami dapati halal di dalamnya, kami halalkannya, dan apa sahaja yang kami dapati haram di dalamnya, kami haramkannya.” Dan sesungguhnya apa yang diharamkan oleh Rasulullah ﷺ adalah sama seperti apa yang diharamkan oleh Allah».
رواه أبو داود والترمذي وابن ماجهNabi ﷺ memberitahu bahawa telah hampir suatu zaman yang mana akan ada segolongan manusia; salah seorang daripada mereka bersandar di atas hamparannya, lalu sampai kepadanya hadis daripada Nabi ﷺ, maka dia berkata: Yang menjadi pemutus antara kami dengan kamu dalam segala urusan ialah al-Quran al-Karim, maka ia sudah mencukupi bagi kami. Apa yang kami dapati halal di dalamnya, kami beramal dengannya, dan apa yang kami dapati haram di dalamnya, kami menjauhinya. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa setiap perkara yang baginda haramkan atau larang dalam sunnahnya, maka hukumnya adalah sama seperti apa yang diharamkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya; kerana baginda ialah penyampai daripada Tuhannya.
Daripada al-‘Irbad bin Sariyah رضي الله عنه, beliau berkata: “Pada suatu hari, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah berdiri di hadapan kami, lalu baginda menyampaikan suatu nasihat yang sangat menyentuh hati, sehingga hati menjadi takut dan mata menitiskan air mata. Lalu dikatakan: "Wahai Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat seorang yang hendak berpisah. Oleh itu, berilah kami nasihat. Baginda bersabda: "Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, dengar dan taat (kepada pemimpin), sekalipun yang memimpin kamu seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya siapa yang masih hidup selepas (kewafatan) aku nanti akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk; gigitlah ia dengan gigi geraham (pegang dengan teguh). Jauhilah perkara-perkara baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap bid'ah itu adalah sesat."
رواه أبو داود والترمذي وابن ماجه وأحمدNabi صلى الله عليه وسلم telah memberi satu nasihat yang sangat menusuk hati kepada para sahabatnya, sehingga hati mereka merasa takut dan air mata mereka bercucuran. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat seorang yang hendak berpisah, kerana mereka melihat betapa bersungguh-sungguhnya baginda صلى الله عليه وسلم dalam memberi nasihat itu. Maka mereka meminta wasiat yang boleh mereka berpegang teguh dengannya selepas ketiadaan baginda. Baginda bersabda: Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, iaitu dengan melaksanakan kewajipan-kewajipan dan meninggalkan perkara-perkara yang haram. Dan (aku wasiatkan juga) supaya kamu dengar dan taat (kepada pemimpin), iaitu kepada para pemerintah. Sekalipun seorang hamba menjadi pemimpin kamu atau menguasai kamu – iaitu orang yang paling rendah kedudukannya menjadi pemimpin atasan kamu – maka janganlah kamu merasa keberatan untuk taat kepadanya. Hal ini bagi mengelakkan timbulnya fitnah. Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup selepas kamu akan melihat banyak perselisihan. Kemudian baginda menerangkan kepada mereka jalan keluar daripada perselisihan itu, iaitu dengan berpegang teguh kepada sunnah baginda dan sunnah para al-Khulafa al-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepas (pemergian) baginda, iaitu Abu Bakar al-Siddiq, ‘Umar bin al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, dan ‘Ali bin Abi Talib رضي الله عنهم أجمعين. Dan (baginda menyuruh) menggigitnya dengan gigi geraham, iaitu bersungguh-sungguh dalam malazimi sunnah dan berpegang dengannya. Baginda memperingatkan mereka daripada perkara-perkara baru yang diada-adakan dalam agama, kerana sesungguhnya setiap bid'ah itu adalah sesat.
Daripada Abu ‘Abd al-Rahma iaitu Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab رضي الله عنهما, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Islam itu dibina atas lima perkara: Mengucapkan syahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad ﷺ ialah hamba dan utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji bagi yang mampu dan berpuasa pada bulan Ramadan.
رواه البخاري ومسلمNabi ﷺ mengumpamakan bahawa Islam itu seperti sebuah bangunan yang kukuh dengan lima tiang serinya sebagai sendi binaan tersebut, manakala amalan-amalan lain dalam Islam berfungsi sebagai penyempurna binaan itu. Rukun pertama daripada lima rukun itu ialah dua kalimah syahadah iaitu mengucap tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad ﷺ ialah pesuruh Allah. Kedua-duanya merupakan satu rukun yang tidak boleh dipisahkan. Dengan mengucapkannya, seorang hamba mengakui keesaan Allah, mengesahkan bahawa hanya Dia yang layak disembah bukan selainnya, beramal selari dengan pengakuan itu, serta mempercayai dan mengikuti risalah Muhammad ﷺ. Rukun kedua ialah menunaikan solat, iaitu lima solat fardhu yang diwajibkan setiap hari dan malam: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, dengan menunaikannya mengikut syarat, rukun, dan kewajipan yang ditetapkan. Rukun ketiga ialah menunaikan zakat yang diwajibkan, iaitu ibadah harta yang wajib dikeluarkan daripada setiap harta yang mencapai nisab tertentu menurut syarak, dan diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya. Rukun keempat ialah menunaikan haji, iaitu pergi ke Mekah untuk melaksanakan ibadah haji sebagai pengabdian kepada Allah ﷻ. Rukun kelima ialah puasa Ramadan, iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat beribadah kepada Allah ﷻ bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Daripada Abu ‘Abd al-Rahman, Abdullah bin Mas‘ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menceritakan kepada kami, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi diakui kebenaran nya: “Sesungguhnya kejadian salah seorang daripada kamu dikumpulkan dalam rahim ibunya selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi segumpal daging selama tempoh yang sama. Kemudian diutuskan malaikat kepadanya, lalu ditiupkan roh ke dalamnya, dan diperintahkan dengan empat perkara: menulis rezekinya, ajalnya, amalannya, dan sama ada dia celaka atau bahagia. Demi Tuhan yang tiada tuhan selain-Nya, sesungguhnya ada antara kamu yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tiada jarak antara dirinya dan syurga melainkan sehasta, namun ketentuan takdir mendahuluinya lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka dan dia memasukinya. Dan sesungguhnya ada antara kamu yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tiada jarak antara dirinya dan neraka melainkan sehasta, namun ketentuan takdir mendahuluinya lalu dia beramal dengan amalan ahli syurga dan dia memasukinya.”
رواه البخاري ومسلمIbn Masʿūd رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ telah menyampaikan kepada kami, dan Baginda adalah orang yang benar dalam tutur katanya serta dibenarkan (oleh wahyu) kerana Allah ﷻ membenarkannya. Baginda bersabda: Sesungguhnya penciptaan kamu adalah dengan dihimpunkan; iaitu apabila seorang lelaki mendatangi isterinya, maka maninya yang berselerak itu dihimpunkan di dalam rahim wanita selama 40 hari sebagai setitis air mani. Kemudian ia menjadi segumpal darah beku yang pekat, dan ia berlaku dalam tempoh 40 hari yang kedua. Kemudian ia menjadi segumpal daging iaitu seketul daging seukuran sesuatu yang boleh dikunyah, dan perkara ini berlaku dalam 40 hari yang ketiga. Setelah berakhir tempoh 40 hari yang ketiga itu, Allah mengutus malaikat kepadanya, lalu malaikat tersebut meniupkan roh ke dalamnya. Malaikat itu juga diperintahkan untuk menulis empat perkara, iaitu: Rezekinya dan ia kadar nikmat dan pemberian yang akan diperolehnya sepanjang hidupnya. Ajalnya iaitu tempoh masa dia akan hidup di dunia. Amalannya, apakah yang akan dia lakukan? Sama ada dia sengsara atau bahagia. Kemudian Nabi ﷺ bersumpah bahawa seseorang itu akan melakukan amalan ahli syurga dan amalannya kelihatan baik, iaitu sebagaimana yang terlihat oleh manusia. Dia terus kekal demikian sehingga jaraknya dengan syurga hanyalah sehasta, iaitu tiada yang memisahkannya dengan syurga melainkan jarak sehasta seperti jarak di bumi. Namun, ketetapan takdir dan apa yang telah ditulis untuknya mengatasi dirinya, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka dia diakhiri dengan amalan tersebut dan dimasukkan ke dalam neraka. Hal ini kerana syarat penerimaan amal ialah dia terus istiqamah di atasnya dan tidak mengubahnya. Ada pula orang lain yang melakukan amalan ahli neraka sehingga dia hampir memasukinya, seakan-akan jarak antaranya dengan neraka hanyalah sehasta seperti jarak di bumi. Namun, ketetapan takdir dan apa yang telah ditulis baginya mengatasi dirinya, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka dia diakhiri dengan amalan tersebut dan dimasukkan ke dalam syurga.
Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdullah, Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesiapa yang mereka-reka sesuatu perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini yang bukan daripadanya, maka perkara itu tertolak." Dalam riwayat Muslim: “Sesiapa melakukan suatu amalan yang tiada perintah daripada kami ke atasnya, maka amalan itu tertolak.’”
رواه البخاري ومسلمNabi ﷺ menerangkan bahawa sesiapa yang mencipta dalam agama atau melakukan suatu amalan yang tiada dalil daripada al-Quran dan Sunnah, maka amalan itu ditolak dan tidak diterima di sisi Allah.
Daripada Abu Hurairah, Abdul Rahman bin Sakhr رضي الله عنه, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Apa sahaja perkara yang aku larang kamu daripadanya maka jauhilah. Dan apa sahaja yang aku perintahkan kamu lakukannya, maka laksanakanlah ia menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu ialah banyaknya pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.”
رواه البخاري ومسلمRasulullah صلى الله عليه وسلم menerangkan kepada kita bahawa apabila baginda melarang kita daripada sesuatu perkara, maka kita wajib menjauhinya tanpa pengecualian. Apabila baginda memerintahkan kita dengan sesuatu perkara, maka hendaklah kita melaksanakannya mengikut kemampuan kita. Kemudian baginda memberi peringatan kepada kita agar tidak menjadi seperti sebahagian umat terdahulu yang terlalu banyak bertanya kepada nabi-nabi mereka serta menentang perintah mereka. Akibatnya, Allah menghukum mereka dengan pelbagai bentuk kebinasaan dan kehancuran. Oleh itu, semestinya kita tidak menjadi seperti mereka supaya kita tidak ditimpa kebinasaan sebagaimana mereka binasa.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: «Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik dan hanya menerima yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan para rasul-Nya. Allah berfirman: {Wahai para rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan kerjakanlah amal kebajikan, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan} [Al-Mu’minun: 51] dan berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada makanan yang baik yang telah Kami rezekikan untuk kamu} [Al-Baqarah: 172]. Kemudian Nabi menyebut tentang seorang lelaki yang menempuh perjalanan jauh, kusut dan berdebu, mengangkat tangannya ke langit sambil berkata: “Ya Tuhanku, Ya Tuhanku,” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia dibesarkan dengan yang haram. Maka bagaimana doanya itu akan diterima?»
رواه مسلمNabi ﷺ memberitahu bahawa Allah itu Maha Suci, terpelihara daripada segala kekurangan dan cacat, serta bersifat dengan segala kesempurnaan. Allah hanya menerima amalan, perkataan dan kepercayaan yang benar, iaitu yang ikhlas kerana-Nya dan selaras dengan petunjuk Nabi ﷺ. Tidak sepatutnya seseorang mendekatkan diri kepada Allah kecuali dengan amalan yang demikian. Salah satu cara paling utama untuk memperoleh kesucian amalan bagi seorang mukmin ialah memastikan makanannya adalah halal dan baik. Dengan itu, amalannya menjadi bersih dan diterima. Oleh itu, Allah memerintahkan orang-orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan para rasul, iaitu memakan yang halal dan mengerjakan amal soleh. Allah berfirman: {Wahai para rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan lakukanlah amal kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan} dan berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada makanan yang baik yang Kami telah rezekikan untuk kamu} Kemudian Nabi ﷺ memberi peringatan tentang larangan memakan yang haram, kerana ia merosakkan amal dan menghalang penerimaan amal tersebut walaupun pelbagai usaha bagi penerimaan telah dilakukan. Antaranya ialah: Pertama: Menempuh perjalanan jauh dalam menjalankan ibadah seperti haji, jihad, menyambung silaturahim dan lain-lain. Kedua: Rambutnya kusut kerana tidak disikat dan warna rambut serta pakaiannya berubah kerana debu, menunjukkan keadaannya yang terdesak. Ketiga: Dia mengangkat kedua-dua tangannya ke langit ketika berdoa. Keempat: Dia memohon pertolongan kepada Allah dengan menyebut nama-Nya dan berulang-ulang dengan penuh pengharapan: “Ya Rabb, Ya Rabb!” Walaupun dia melakukan semua amalan itu untuk dikabulkan doanya, ia tidak akan dikabulkan. Hal ini kerana makanannya, minumannya dan pakaiannya adalah daripada yang haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka jauh sekali untuk doanya diterima, bagaimana mungkin ia dikabulkan?