





























Hadeeth Cards
Da'wa cards that highlight great meanings from the noble prophetic hadiths in a simple style and attractive display that helps the Muslim to have a deeper understanding of his religion in an easy way
All
Daripada Ibn ʿAbbās رضي الله عنهما: Daripada Nabi ﷺ dalam hadis yang diriwayatkannya daripada Tuhannya عز وجل berfirman: Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Sesiapa yang berazam untuk melakukan satu kebaikan tetapi tidak melakukannya maka Allah mencatat untuknya di sisi-Nya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berazam serta melakukannya maka Allah mencatat baginya di sisi-Nya 10 kebaikan hingga 700 kali ganda, bahkan berlipat kali ganda yang lebih banyak. Dan sesiapa yang berazam untuk melakukan satu kejahatan tetapi tidak melakukannya maka Allah mencatat buatnya di sisi-Nya satu kebaikan yang sempurna. Namun jika dia berazam serta melakukannya maka Allah akan menulis baginya satu kejahatan sahaja."
متفق عليهRasulullah ﷺ menerangkan bahawa Allah telah menetapkan pahala bagi kebaikan dan dosa bagi kejahatan, kemudian Dia menjelaskan kepada dua malaikat cara mencatat amalan tersebut: Sesiapa yang berkehendak, berniat dan berazam untuk melakukan satu kebaikan maka ditulis baginya satu kebaikan penuh walaupun dia tidak melakukannya. Jika dia benar-benar melakukannya maka pahalanya digandakan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, bahkan berlipat kali ganda mengikut kadar keikhlasan hati dan sejauh mana manfaat amalan itu tersebar. Sesiapa yang berkehendak, berniat dan berazam untuk melakukan satu kejahatan, lalu dia meninggalkannya kerana Allah maka ditulis baginya satu kebaikan. Jika dia meninggalkannya hanya kerana sibuk atau lalai tanpa berusaha melakukannya maka tidak ditulis apa-apa baginya. Jika dia meninggalkannya kerana tidak mampu melaksanakannya maka ditulis dosa niatnya. Sekiranya dia benar-benar melakukannya, maka ditulis baginya satu dosa sahaja.
Daripada ʿUmar bin al-Khaṭṭāb رضي الله عنه berkata: Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم pada suatu hari, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda permusafiran, dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya. Dia duduk berhadapan dengan Nabi صلى الله عليه وسلم, lalu merapatkan kedua-dua lututnya kepada lutut Baginda dan meletakkan kedua-dua tangannya di atas kedua peha baginda, seraya berkata: "Wahai Muhammad, beritahulah aku tentang Islam." Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Islam ialah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu melaksanakannya." Dia berkata: "Benar." ʿUmar berkata: "Kami merasa hairan kepadanya, dia bertanya tetapi dia juga membenarkannya." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang iman." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat, dan engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk." Dia berkata: "Benar." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang ihsan." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang hari kiamat." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui tentangnya berbanding orang yang bertanya." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang tanda-tandanya." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Apabila seorang hamba melahirkan tuannya, dan apabila engkau melihat orang-orang yang tidak berkaki ayam, tidak berpakaian, dan miskin, pengembala kambing, berlumba-lumba meninggikan bangunan." ʿUmar berkata: "Kemudian lelaki itu pun pergi, lalu aku diam beberapa ketika. Setelah itu Baginda صلى الله عليه وسلم berkata kepadaku: "Wahai ʿUmar, tahukah engkau siapa orang yang bertanya tadi?" Aku berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesungguhnya dia adalah Jibril, dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu."
رواه مسلمUmar bin al-Khattab رضي الله عنه menceritakan bahawa Jibril عليه السلام datang kepada para sahabat رضي الله عنهم dalam rupa seorang lelaki yang tidak dikenali. Antara sifatnya ialah pakaiannya yang sangat putih dan rambutnya yang sangat hitam. Tidak kelihatan padanya tanda-tanda permusafiran seperti kepenatan, debu, rambut kusut atau pakaian yang kotor, dan tiada seorang pun daripada mereka mengenalinya. Ketika itu mereka sedang duduk bersama Nabi صلى الله عليه وسلم. Lalu dia duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagaimana duduk seorang penuntut ilmu, lalu dia bertanya baginda tentang Islam. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab dengan menyebut rukun-rukunnya yang merangkumi pengakuan dua kalimah syahadah, menjaga solat lima waktu, menunaikan zakat kepada yang berhak, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Lelaki itu berkata: “Benar.” Para sahabat pun berasa hairan kerana dia bertanya seolah-olah tidak mengetahui, namun kemudian dia sendiri membenarkan jawapan tersebut. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang iman. Baginda menjawab dengan menyebut enam rukun iman yang merangkumi keimanan kepada kewujudan Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya, mengesakan-Nya dalam perbuatan-Nya seperti mencipta dan mengesakan-Nya dalam ibadah; beriman kepada para malaikat yang diciptakan oleh Allah daripada cahaya, yang merupakan hamba-hamba-Nya yang dimuliakan, tidak menderhakai-Nya dan sentiasa melaksanakan perintah-Nya; beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul-Nya, seperti al-Quran, Taurat, Injil dan lain-lain; beriman kepada para rasul yang diutus untuk menyampaikan agama Allah, antaranya Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan yang terakhir Muhammad صلى الله عليهم وسلم serta nabi dan rasul yang lain; beriman kepada hari akhirat, yang merangkumi peristiwa selepas kematian seperti alam kubur dan kehidupan barzakh, bahawa manusia akan dibangkitkan selepas mati dan dihisab, lalu ditentukan tempatnya sama ada di syurga atau di neraka dan beriman bahawa Allah telah menetapkan segala sesuatu berdasarkan ilmu-Nya yang terdahulu, mengikut hikmah-Nya, telah ditulis-Nya, dikehendaki-Nya, terjadi seperti yang telah ditetapkan dan Dialah yang menciptakannya. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang ihsan. Baginda menjelaskan bahawa ihsan ialah beribadah kepada Allah seolah-olah seseorang itu melihat-Nya. Jika dia tidak mencapai kedudukan tersebut, maka hendaklah dia beribadah kepada Allah (dengan penuh kesedaran) bahawa Allah sentiasa melihatnya. Kedudukan yang pertama dinamakan martabat musyahadah, iaitu martabat yang paling tinggi, manakala yang kedua dinamakan martabat muraqabah. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم: “Bilakah berlaku hari kiamat?” Maka Baginda menjelaskan bahawa pengetahuan tentang waktu berlakunya kiamat adalah daripada perkara ghaib yang hanya Allah mengetahuinya. Tiada seorang pun dalam kalangan makhluk yang mengetahuinya, sama ada yang ditanya mahupun yang bertanya. Setelah itu lelaki itu bertanya tentang tanda-tanda kiamat? Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa antara tanda-tandanya ialah banyaknya hamba perempuan dan anak-anak mereka, atau banyaknya anak yang menderhakai ibu mereka sehingga memperlakukan mereka seperti hamba. Selain itu, para pengembala kambing dan golongan fakir miskin akan diberikan keluasan dunia pada akhir zaman, lalu mereka berbangga-bangga dalam menghias dan membina bangunan yang megah. Akhirnya Nabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa lelaki yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril عليه السلام yang datang untuk mengajar para sahabat رضي الله عنهم tentang agama Islam yang suci ini.
Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang melakukan dalam urusan kami sesuatu yang bukan (berasal) daripadanya, maka ia ditolak.” (Muttafaqun ‘alaih) Dan dalam riwayat Muslim: “Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang tiada perintah daripada kami, maka ia ditolak.”
متفق عليهNabi ﷺ menerangkan bahawa sesiapa yang mencipta dalam agama atau melakukan suatu amalan yang tiada dalil daripada al-Quran dan Sunnah, maka amalan itu ditolak dan tidak diterima di sisi Allah.
Daripada Abu Zar رضي الله عنه: Daripada Nabi صلى الله عليه وسلم menceritakan daripada Allah تبارك وتعالى bahawa Dia berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Ku, dan menjadikannya haram antara kamu semua, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan sesat kecuali orang yang Aku berikan hidayah kepadanya, maka mintalah petunjuk daripada-Ku, nescaya Aku tunjukkan kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka mintalah makanan daripada-Ku, nescaya Aku beri kamu makan. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan telanjang kecuali orang yang Aku beri pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku, nescaya Aku mengurniakan pakaian kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan pada siang dan malam, dan Aku mengampuni segala dosa, maka mohonlah ampun daripada-Ku, nescaya Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Ku yang boleh memudaratkan Aku dan kamu tidak akan boleh memberi manfaat kepada-Ku yang Aku boleh mendapat manfaat tersebut. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu daripada permulaan hingga penghujung, manusia dan jin, memiliki sebaik-baik hati maka ia tidak akan menambah apa-apa pun pada kerajaan-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu dari permulaan hingga penghujung, manusia dan jin, memiliki sejahat-jahat hati maka ia tidak akan mengurangkan apa-apa pun daripada kerajaan-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu, manusia dan jin, berkumpul di satu tempat dan meminta daripada-Ku, lalu Aku memberi setiap seorang apa yang dimintanya, tidak akan berkurang sedikit pun daripada milik-Ku, kecuali seperti jarum yang dimasukkan ke dalam laut. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia hanyalah amalan-amalanmu yang akan Aku hitung, kemudian Aku akan membalasnya kepadamu. Sesiapa yang mendapat kebaikan, hendaklah dia memuji Allah, dan sesiapa yang mendapat selain itu, janganlah dia menyalahkan selain dirinya sendiri.”
رواه مسلمNabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa Allah سبحانه وتعالى berfirman bahawa Dia telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Nya sendiri, dan menjadikannya haram di antara makhluk-Nya, maka tiada seorang pun boleh menzalimi yang lain. Seluruh makhluk berada dalam keadaan sesat daripada jalan yang benar kecuali dengan hidayah dan petunjuk Allah, dan sesiapa yang meminta petunjuk-Nya, Allah akan memberi kefahaman agama dan hidayah kepadanya. Semua makhluk dalam keadaan fakir dan memerlukan Allah dalam semua keperluan mereka. Sesiapa yang memohon kepada Allah maka Dia akan memenuhi hajatnya dan mencukupkannya. Manusia melakukan dosa pada siang dan malam, dan Allah سبحانه وتعالى menutup aib serta mengampuni dosa-dosa mereka apabila mereka memohon ampun kepada-Nya. Mereka tidak mampu memberi mudarat atau manfaat kepada Allah dengan apa jua cara sekalipun. Sekiranya seluruh manusia dan jin memiliki hati paling takwa sekalipun, tidak akan menambah apa-apa pada kerajaan Allah. Dan sekiranya mereka memiliki hati paling jahat sekalipun, tidak akan mengurangkan sedikit pun daripada kekuasaan-Nya; kerana mereka lemah dan memerlukan Allah, sentiasa memerlukan-Nya dalam setiap keadaan, masa dan tempat, sedangkan Dia Maha Kaya سبحانه. Sekiranya seluruh manusia dan jin, dari yang pertama hingga yang terakhir, berkumpul di satu tempat dan memohon kepada Allah, lalu Allah memenuhi permintaan masing-masing, maka hal itu tidak mengurangkan sedikit pun apa yang ada pada-Nya — ibarat jarum yang dimasukkan ke dalam laut, apabila dikeluarkan tidak mengurangkan laut sedikit pun — ini menunjukkan kesempurnaan kekayaan-Nya سبحانه. Dan bahawa Allah سبحانه mencatat setiap amal hamba-Nya dan menghitungnya, kemudian membalas mereka dengan sempurna pada hari kiamat. Maka sesiapa yang mendapati balasan amalnya adalah kebaikan, hendaklah dia memuji Allah atas petunjuk dan taufik-Nya dalam ketaatan. Sesiapa yang mendapati balasan amalnya sebaliknya, maka tidak boleh menyalahkan sesiapa selain dirinya sendiri, iaitu nafsu amarah yang menuntunnya ke arah kerugian.
Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata: Suatu hari aku berada di belakang Rasulullah ﷺ, lalu baginda bersabda: “Wahai anak muda, sesungguhnya aku mahu mengajarmu beberapa kalimat; Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapati-Nya di hadapanmu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah, dan apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, jika seluruh umat berkumpul untuk memberimu suatu kebaikan maka mereka tidak akan mampu memberikanmu kebaikan itu kecuali sesuatu yang Allah telah tetapkan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk menimpakan mudarat kepadamu maka mereka tidak akan mampu menimpakan mudarat kecuali sesuatu yang telah Allah tetapkan ke atasmu. Pena telah diangkat dan lembaran telah kering.”
رواه الترمذيIbnu ‘Abbas رضي الله عنه menceritakan bahawa ketika dia kecil, dia membonceng di belakang Nabi ﷺ. Baginda bersabda kepadanya: “Aku mahu mengajarkanmu perkara-perkara yang akan memberi manfaat kepadamu: Jagalah Allah dengan menunaikan perintah-Nya dan menjauhkan diri daripada segala larangan-Nya, di mana Dia mendapati kamu dalam ketaatan dan amalan-amalan yang mendekatkanmu kepada-Nya, dan Dia tidak menemuimu dalam maksiat dan dosa. Jika engkau melakukan itu, maka balasanmu ialah Allah akan memelihara dirimu daripada segala bahaya dunia dan akhirat, serta menolongmu dalam setiap urusanmu ke mana sahaja engkau bergerak.” Apabila ingin meminta sesuatu, jangan minta kecuali kepada Allah, kerana hanya Dia yang mampu menjawab permintaan para hamba-Nya.” Sekiranya engkau ingin meminta pertolongan, janganlah meminta pertolongan melainkan kepada Allah. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu tidak akan memperoleh sebarang kebaikan walaupun seluruh penduduk bumi berkumpul untuk memberimu kebaikan, melainkan apa yang Allah sudah tetapkan untukmu. Begitu juga, kamu tidak akan ditimpa sebarang bahaya walaupun seluruh penduduk bumi berkumpul untuk memudaratkanmu, melainkan apa yang Allah sudah takdirkan Allah ke atasmu. (Ketahuilah) bahawa perkara ini telah ditulis dan ditakdirkan oleh Allah menurut hikmah dan ilmu-Nya, dan tiada yang dapat mengubah apa yang telah Allah tetapkan.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: Islam itu dibina atas lima perkara: Mengucapkan syahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad ﷺ ialah hamba dan utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji bagi yang mampu dan berpuasa pada bulan Ramadan.
متفق عليهNabi ﷺ mengumpamakan bahawa Islam itu seperti sebuah bangunan yang kukuh dengan lima tiang serinya sebagai sendi binaan tersebut, manakala amalan-amalan lain dalam Islam berfungsi sebagai penyempurna binaan itu. Rukun pertama daripada lima rukun itu ialah dua kalimah syahadah iaitu mengucap tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad ﷺ ialah pesuruh Allah. Kedua-duanya merupakan satu rukun yang tidak boleh dipisahkan. Dengan mengucapkannya, seorang hamba mengakui keesaan Allah, mengesahkan bahawa hanya Dia yang layak disembah bukan selainnya, beramal selari dengan pengakuan itu, serta mempercayai dan mengikuti risalah Muhammad ﷺ. Rukun kedua ialah menunaikan solat, iaitu lima solat fardhu yang diwajibkan setiap hari dan malam: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, dengan menunaikannya mengikut syarat, rukun, dan kewajipan yang ditetapkan. Rukun ketiga ialah menunaikan zakat yang diwajibkan, iaitu ibadah harta yang wajib dikeluarkan daripada setiap harta yang mencapai nisab tertentu menurut syarak, dan diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya. Rukun keempat ialah menunaikan haji, iaitu pergi ke Mekah untuk melaksanakan ibadah haji sebagai pengabdian kepada Allah ﷻ. Rukun kelima ialah puasa Ramadan, iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat beribadah kepada Allah ﷻ bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Daripada Abu Sa‘id al-Khudri رضي الله عنه berkata: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya dan sekiranya tidak mampu juga, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman."
رواه مسلمNabi صلى الله عليه وسلم memerintahkan supaya mengubah kemungkaran iaitu segala yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya menurut kemampuan. Maka apabila seseorang melihat kemungkaran, wajiblah dia mengubahnya dengan tangan sekiranya berkemampuan. Sekiranya dia tidak mampu (mengubah dengan tangan), hendaklah dia mengubahnya dengan lisannya, iaitu dengan menegur pelakunya, menjelaskan kemudaratannya serta membimbingnya kepada kebaikan sebagai ganti kejahatan tersebut. Sekiranya dia tidak mampu sampai kepada tahap ini, hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, iaitu dengan membenci kemungkaran tersebut dan berazam bahawa jika dia mampu mengubahnya, dia pasti akan melakukannya. Mengubah dengan hati merupakan tahap iman yang paling lemah dalam usaha mengubah kemungkaran.
Daripada Ibn Mas'ūd RA, beliau berkata: Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kami akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kami lakukan pada zaman Jahiliah?” Baginda bersabda: «Sesiapa yang berbuat baik dalam Islam tidak akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukannya pada zaman Jahiliah, dan sesiapa yang berbuat jahat dalam Islam, dia akan dipertanggungjawabkan atas yang pertama dan yang terakhir».
متفق عليهNabi ﷺ menjelaskan kemuliaan memeluk Islam, Dan bahawa sesiapa yang memeluk Islam dan baik keislamannya, serta ikhlas dan benar, maka dia tidak akan dihisab atas perbuatan-perbuatan maksiat yang telah dilakukannya pada zaman jahiliyah, Sesiapa yang melakukan kejahatan dalam Islam dengan menjadi seorang munafik atau murtad daripada agamanya, maka dia akan dihisab atas amalannya semasa dalam kekafiran dan juga atas amalannya semasa dalam Islam.
Daripada Jabir رضي الله عنه: "Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, lalu bertanya: Bagaimana jika aku menunaikan solat yang diwajibkan, berpuasa pada bulan Ramadan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan tidak menambah lebih daripada itu, adakah aku akan masuk syurga? Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: «Ya.» Lelaki itu berkata: “Demi Allah, aku tidak akan menambah lebih daripada itu."
رواه مسلمRasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa sesiapa yang menunaikan solat lima waktu yang diwajibkan tanpa menambah sebarang solat sunat, berpuasa pada bulan Ramadan tanpa puasa sunat, meyakini kehalalan perkara yang halal dan melakukannya serta meyakini keharaman perkara yang haram dan menjauhinya, maka dia akan masuk syurga.