





























Hadeeth Cards
Da'wa cards that highlight great meanings from the noble prophetic hadiths in a simple style and attractive display that helps the Muslim to have a deeper understanding of his religion in an easy way
All
Daripada Abdullah bin Amr رضي الله عنهما, beliau berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Empat sifat, sesiapa yang memilikinya adalah munafik sejati, dan sesiapa yang terdapat padanya salah satu sifat itu, maka wujud padanya sebahagian sifat nifaq sehingga dia meninggalkannya: (Iaitu) Apabila bercakap dia berdusta, apabila buat perjanjian dia mengkhianati, apabila berjanji sesuatu dia mengingkarinya, dan apabila bertengkar dia berlaku kejam.”
متفق عليهNabi صلى الله عليه وسلم memberi peringatan tentang empat sifat ini. Sekiranya sifat-sifat ini terkumpul pada seorang Muslim, dia sangat menyerupai orang munafik kerana sifat-sifat tersebut. Ini berlaku bagi orang yang sifat-sifat itu menguasai dirinya (sering melakukannya) manakala bagi yang jarang memilikinya (jarang melakukannya), tidak termasuk dalam kategori ini. Sifat-sifat tersebut ialah: Pertama: apabila bercakap, dia sengaja berdusta dan tidak jujur dalam ucapannya. Kedua: Apabila membuat perjanjian, dia tidak menepatinya dan mengkhianati pihak yang membuat perjanjian dengannya. Ketiga: Apabila memberi janji, dia tidak menunaikannya dan mengingkarinya. Keempat: Apabila bertengkar atau berkelahi dengan seseorang, pertengkarannya menjadi keras, dia menyimpang daripada kebenaran, menggunakan tipu daya untuk menolak dan membatalkan, serta berkata perkara yang salah dan dusta. Sesungguhnya nifaq ialah menzahirkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang tersembunyi di dalam hati. Makna tersebut wujud pada orang yang memiliki sifat-sifat ini, dan nifaqnya berlaku terhadap orang yang dia bercakap, dijanjikan, dipercayai, bertengkar atau membuat janji dengannya, bukan bahawa dia seorang munafik dalam Islam yang zahirnya menunjukkan iman tetapi batinnya mengandungi kekufuran. Sesiapa yang wujud padanya salah satu sifat ini, maka dia memiliki sebahagian sifat nifaq sehingga dia meninggalkannya.
Daripada Abu Tha‘labah al-Khushani, Jurthum bin Nashir رضي الله عنه, daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu sia-siakannya, dan Dia telah menetapkan had batas, maka janganlah kamu langgar ia dan Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarnya dan Dia telah mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat untuk kamu, bukan kerana lupa, maka janganlah kamu mencari-cari tentangnya.”
رواه الدارقطني في سننه وغيرهNabi ﷺ memberitahu bahawa Allah telah mewajibkan beberapa perkara dan menetapkan kewajipan, maka patuhilah serta janganlah kamu mengabaikannya dengan meninggalkannya atau memandang ringan terhadapnya. Allah juga menetapkan batasan dan larangan yang jelas untuk menjadi penghalang dan peringatan kepada kamu daripada melakukan perkara yang tidak diredai-Nya, maka janganlah kamu melampauinya dengan menambah sesuatu di luar ketetapan syarak. Allah mengharamkan perkara-perkara tertentu, maka janganlah kamu mengambilnya atau mendekatinya. Adapun perkara selain daripada itu, Allah meninggalkannya dan tidak menjelaskannya sebagai rahmat-Nya kepada para hamba-Nya, maka hukumnya kekal berdasarkan asal iaitu harus, dan janganlah kamu terlalu mencari-carinya.
Daripada Abu Muhammad, al-Hasan bin Ali bin Abi Talib – cucu Rasulullah ﷺ dan pewaris harumannya – beliau berkata: “Aku telah menghafal daripada Rasulullah ﷺ: " Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu (dan pergi) kepada perkara yang tidak meragukanmu."
رواه الترمذي والنسائيNabi ﷺ telah memerintahkan supaya meninggalkan perkara-perkara yang diragui, sama ada dalam ucapan atau amalan, tentang hukumnya sama ada terlarang atau tidak, haram atau halal dan memfokuskan kepada perkara yang tidak diragui lagi, iaitu yang telah diyakini kesahihannya dan kehalalannya.
Daripada Abu Ya‘lā, Shaddād bin Aws رضي الله عنه, daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan dalam segala perkara. Apabila kamu membunuh, maka ihsanlah dalam membunuh. Apabila kamu menyembelih, maka ihsanlah dalam penyembelihan. Hendaklah setiap daripada kamu mengasah pisaunya dan hendaklah dia memberikan rasa nyaman kepada sembelihannya."
رواه مسلمNabi ﷺ memberitahu bahawa Allah ﷻ mewajibkan kita berbuat ihsan (kebaikan) dalam setiap perkara. Ihsan ialah sentiasa merasa diawasi oleh Allah dalam beribadah kepada-Nya, dalam melakukan kebaikan dan dalam menahan diri daripada menyakiti makhluk. Termasuk dalam hal ini ialah berbuat ihsan ketika membunuh (dalam pelaksanaan hukuman) dan ketika menyembelih. Ihsan ketika membunuh dalam pelaksanaan qisas ialah dengan memilih cara yang paling mudah, paling ringan dan paling cepat untuk mengakhiri nyawa orang yang dihukum. Ihsan ketika menyembelih dalam penyembelihan haiwan ialah dengan berlaku baik terhadap haiwan tersebut, iaitu dengan menajamkan alat sembelihan, tidak menajamkannya di hadapan haiwan sembelihan yang melihat dan tidak menyembelih seekor haiwan di hadapan haiwan-haiwan lain yang sedang melihatnya.
Daripada Abu Malik, al-Harith bin ‘Asim al-Asy‘ari رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Kesucian adalah separuh keimanan. Ucapan Alhamdulillah memenuhi timbangan dan ucapan Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi apa yang ada di langit dan di bumi, Solat itu cahaya, sedekah itu bukti, sabar itu sinar dan al-Quran akan menjadi pembela atau pendakwamu. Setiap manusia keluar (pada waktu pagi), lalu menjual dirinya; sama ada membebaskan dirinya (dengan amalan soleh) atau membinasakannya (dengan dosa)."
رواه مسلمRasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa kesucian zahir diperoleh melalui wuduk dan mandi. Ia merupakan syarat sah solat. Ucapan: “Alhamdulillah memenuhi timbangan” ialah pujian kepada-Nya SWT, dengan menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kesempurnaan, yang akan ditimbang pada hari kiamat dan memenuhi timbangan amal. Ucapan: “Subhanallah dan Alhamdulillah” ialah mensucikan-Nya daripada segala kekurangan dan menyifatkan-Nya dengan kesempurnaan mutlak yang sesuai dengan keagungan-Nya, disertai dengan kecintaan dan pengagungan terhadap-Nya, yang memenuhi antara langit dan bumi. "Solat itu cahaya” bagi hamba (yang terpancar) di dalam hatinya, wajahnya, kuburnya dan ketika dibangkitkan pada hari kiamat. “Sedekah itu bukti” menunjukkan keikhlasan iman seorang mukmin, berbeza dengan munafik yang menahan diri daripadanya kerana tidak mempercayai janji ganjarannya. “Kesabaran itu sinar” iaitu menahan diri daripada keluh kesah dan rasa kecewa merupakan cahaya yang menghasilkan kehangatan dan pembakaran, seperti cahaya matahari; kerana ia berat dan memerlukan perjuangan menundukkan nafsu daripada apa yang diingininya. Pemiliknya sentiasa diterangi cahaya, mendapat petunjuk dan terus berada di jalan yang benar. Kesabaran ini termasuk kesabaran dalam mentaati Allah, meninggalkan maksiat, serta bersabar menghadapi musibah dan pelbagai kesusahan di dunia. “Al-Quran menjadi pembela” melalui pembacaan dan pengamalannya, atau "menjadi pendakwa" jika ditinggalkan tanpa membaca atau mengamalkannya. Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa semua manusia bangun, bergerak, tidak tidur dan keluar dari rumah-rumah mereka untuk melakukan pelbagai pekerjaan. Terdapat di antara mereka yang istiqamah dalam ketaatan kepada Allah maka dia membebaskan dirinya daripada api neraka dan ada pula yang menyimpang serta melakukan maksiat sehingga menjerumuskan dirinya ke dalam neraka.
Daripada Abu Sa‘id, Sa‘d bin Malik bin Sinan al-Khudri رضي الله عنه, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Tiada sebarang mudarat dan tiada yang memudaratkan.”
رواه ابن ماجه والدارقطني وغيرهما مسندًاRasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa wajib menolak segala bentuk kemudaratan dalam pelbagai jenis dan keadaannya, sama ada terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Tidak boleh bagi sesiapa untuk mencederakan dirinya sendiri atau orang lain dengan apa jua cara sekalipun. Begitu juga, tidak boleh baginya membalas kemudaratan dengan kemudaratan kerana kemudaratan tidak boleh dihapuskan dengan kemudaratan kecuali dalam bentuk qisas tanpa melampaui batas.
Daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sekiranya manusia diberi (sesuatu) berdasarkan dakwaan mereka, tentulah ada orang menuntut harta dan nyawa orang lain tetapi hujah dan bukti berada pada pihak yang menuntut, dan sumpah berada pada pihak yang menafikannya."
رواه البيهقي وغيره هكذا وبعضه في الصحيحينRasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa sekiranya seseorang diberi hanya berdasarkan tuntutan mereka tanpa bukti atau petunjuk maka pasti ada orang yang akan menuntut harta dan nyawa orang lain. Oleh itu, pihak yang menuntut wajib mengemukakan bukti dan dalil bagi tuntutannya. Jika dia tiada bukti, tuntutan itu diserahkan kepada pihak yang dituntut; jika pihak itu menafikannya, maka wajib atasnya bersumpah, dan dia akan terbebas daripada tuntutan tersebut.
Daripada Abu Burdah, daripada bapanya, Abu Musa al-Asy‘ari رضي الله عنه: Nabi ﷺ mengutusnya ke Yaman, lalu baginda bertanya kepadanya tentang minuman yang dibuat di sana, dengan berkata: “Apakah (minuman yang dibuat di sana)?” Dia menjawab: “Al-Bit‘ dan Al-Mizr.” Lalu ditanyakan kepada Abu Burdah: “Apakah Al-Bit‘?” Dia menjawab: “Arak madu,” dan Al-Mizr: “Arak barli.” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Segala yang memabukkan adalah haram.” (HR. al-Bukhari) Diriwayatkan oleh Muslim, lafaznya: Beliau berkata; Nabi ﷺ mengutuskan aku dan Mu‘az ke Yaman. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, di tanah kami dibuat minuman yang disebut Al-Mizr daripada barli, dan minuman yang disebut Al-Bit‘ daripada madu.” Maka Baginda ﷺ bersabda: “Segala yang memabukkan adalah haram.” Dalam riwayat Muslim (yang lain): “Baginda bersabda: Segala yang memabukkan hingga menghalang seseorang daripada menunaikan solat, maka ia haram.” Dan dalam riwayatnya yang lain: “Rasulullah ﷺ dikurniakan tutur kata ringkas yang sarat dengan makna, maka baginda bersabda: Aku melarang segala yang memabukkan sehingga menghalang seseorang daripada menunaikan solat.”
رواه البخاري ومسلمAbu Musa al-Asy‘ari رضي الله عنه menceritakan bahawa Nabi ﷺ menghantarnya ke Yaman. Di sana, beliau ditanya tentang minuman yang dibuat di situ sama ada ia haram atau tidak, lalu Nabi ﷺ menanyakan kepadanya mengenai hal itu untuk mendapatkan penjelasan. Lalu Abu Musa رضي الله عنه menjawab: “Ia adalah al-Bat‘: Arak daripada madu, dan al-Mazar: Arak daripada barli.” Lalu Nabi ﷺ bersabda, dan baginda dikurniakan ucapan yang merangkumi segala hukum: “Segala yang memabukkan adalah haram.”
Daripada Abu Hurayrah RA, beliau berkata: Saya mendengar Nabi ﷺ bersabda: "Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan tidak berkata buruk, dan tidak melakukan maksiat, maka dia kembali seperti hari dilahirkan oleh ibunya."
متفق عليهNabi ﷺ menjelaskan bahawa sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah SWT dan tidak melakukan rafath, iaitu persetubuhan dan mukadimahnya seperti mencium dan bersentuhan, serta kata-kata keji dan tidak melakukan fusuq dengan melakukan maksiat dan perbuatan dosa. Antara perbuatan fasik ialah melakukan larangan-larangan ihram, dia kembali dari hajinya dalam keadaan diampunkan, sebagaimana seorang bayi dilahirkan bersih daripada dosa-dosa.